fbpx

Anggota polis berdendam bunuh 4 orang termasuk mentua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT orang terbunuh dalam kejadian tembakan di Surat Thani kelmarin. – THAI PBS

BANGKOK – Pertelingkahan tragis sebuah keluarga menjadi punca seorang anggota polis membunuh empat orang kerana dendam di selatan Thailand, lapor portal berita Thaiger semalam.

Pembunuhan kejam itu berlaku Sabtu lepas membabitkan  anggota dari  Balai Polis Khirirat Nakhom, wilayah Surat Thani  dan tiga konconya.

Menurut pesuruhjaya polis tempatan, Leftenan Jeneral (polis)  Surapong Thanomchit, keempat-empat lelaki yang diketuai oleh Sarjan Mejar Atthaporn Wichian, 46, itu menyerbu sebuah rumah di tambon Kapao dan melepaskan tembakan bertubi-tubi terhadap kesemua mangsa.

Polis  menemui lebih 90 kelongsong peluru senjata automatik bertaburan di sekitar rumah tempat kejadian berlaku.

Keempat-empat penyerang  termasuk abang Atthaporn yang berusia 48 tahun, Thammarat Wichian,  Manop Wang-ngan, 57, dan seorang suspek yang masih belum dikenal pasti.

Polis mengenal pasti tiga mangsa itu sebagai bekas ketua kampung,  Thammarong Nilniyom, isteri Thammarong,  Nilthip  dan seorang lagi bekas ketua kampung bernama Pornsak Petchu, lapor portal berita PBS Thai. Mangsa keempat belum dapat dikenal pasti identitinya.

Rakaman sistem televisyen  litar tertutup (CCTV)  lokasi kejadian menunjukkan keempat-empat suspek tiba di rumah  mangsa dengan menaiki kereta Toyota Vios pada pukul 1.06 tengah hari Sabtu lepas. Tiga daripada mereka keluar dari kereta termasuk  Atthaporn, Thammarat, dan Manop dengan masing-masing membawa senjata api. 

Atthaporn dan Thammarat membawa raifal M16,  manakala Manop mempunyai senapang patah.

Salah seorang daripada tiga lelaki itu melepaskan tembakan ke arah Nilthip  yang sedang duduk di tepi balang air besar. Mangsa maut di tempat kejadian. Ketiga-tiga mereka kemudian menyerbu masuk ke dalam rumah dan melepaskan tembakan yang  membunuh Thammarong dan Pornsak. 

Bagaimanapun, dipercayai salah seorang mangsa membalas tembakan dan membunuh seorang penyerang tersebut, Thammarat.

Atthaporn dan Manop kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kereta Toyota Vios yang sedang menunggu.

Surapong berkata,  Atthaporn dan Manop masih bebas, manakala polis sedang memburu  mereka atas tuduhan membunuh. Pemandu kereta itu kemudiannya ditemui mati di dalam kenderaan tersebut. Polis percaya dia mungkin terkena peluru sesat semasa pertempuran.

Laporan polis menunjukkan bahawa Atthaporn ialah menantu Thammarong.

Atthaporn menceraikan bekas isterinya pada Oktober 2022 dan berkahwin dengan Panida iaitu  anak perempuan tunggal Thammarong, yang menceraikan suaminya juga tahun lalu.

Thammarong dilaporkan tidak menyukai Atthaporn dan cuba memisahkan mereka, menyebabkan tercetusnya dendam kesumat.

Walaupun polis percaya bahawa ia adalah motif pembunuhan itu, siasatan masih diteruskan, kata  Surapong. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI