KUALA TERENGGANU – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup masuk dua juta batang rokok jenama terkenal berjaya digagalkan Maritim Malaysia (APMM) di muara Sungai Setiu berhampiran Penarik, Setiu semalam.
Dalam operasi pada 5.30 pagi itu, tiga anggota sindiket sanggup meninggalkan bekalan rokok bernilai hampir RM1.2 juta itu
dan terjun ke tengah laut bagi mengelak diri daripada diberkas.
Rokok seludup dalam kuantiti banyak tersebut dipercayai ingin dibawa masuk bagi pasaran Pantai Timur demi memenuhi permintaan yang tinggi pada musim perayaan tidak lama lagi.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, aktiviti penyeludupan itu berjaya dikesan berikutan risikan selama beberapa hari.
“APMM Terengganu telah membentuk dua kru yang masing-masing bersiap sedia di perairan dan daratan.
“Pemantauan mendapati tiga suspek telah memudiki muara Sungai Setiu menggunakan bot pancung sebelum memunggah masuk ke dalam sebuah lori yang diletakkan di tebing sungai itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairulanuar berkata, ketiga suspek tersebut segera melarikan diri ke arah laut dengan menggunakan bot pancung sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
“Pemeriksaan di dalam bot pancung dan lori kemudiannya menjumpai timbunan kotak dibalut dalam plastik hitam yang mengandungi dua juta batang rokok disyaki diseludup,” katanya. – KOSMO! ONLINE.