fbpx

Enam lelaki bertumbuk berpunca RM30

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ENAM lelaki warga Myanmar ditahan di Kampung Bagan Dalam, Butterworth hari ini selepas berlaku pergaduhan kerana wang RM30.

SEBERANG PERAI – Gara-gara urusan jual beli sebuah basikal lama berharga RM30, enam lelaki ditahan polis hari ini selepas berlaku pergaduhan akibat rasa tidak berpuas hati salah seorang daripada mereka berhubung urusan itu.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku di hadapan sebuah rumah di Kampung Bagan Dalam, Butterworth di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku apabila seorang lelaki warga Myanmar berusia 39 tahun mahu menuntut semula wang sebanyak RM30 daripada rakan senegaranya yang menjual basikal itu kerana rosak.

“Tiga bulan lalu mangsa berusia 29 tahun ada menjual basikal lama itu kepada suspek, namun ia tidak boleh digunakan dan telah dipulangkan semula.

“Suspek telah meminta semula wang itu tetapi mangsa gagal membayar sebelum ini sehinggalah mereka bertembung ketika mangsa pergi mencari suspek untuk membayarnya,” kata Noorzainy kepada Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, suspek yang berang selepas kehadiran mangsa telah menumbuk muka lelaki itu. Dia juga membawa sebilah pisau yang berjaya dirampas oleh mangsa.

“Berlaku adegan tumbuk-menumbuk di antara mereka dan empat rakan senegara suspek yang berada di kawasan itu turut memukul mangsa, manakala dia turut membalas pukulan.

“Kejadian itu bagaimanapun berjaya dileraikan selepas penduduk melihat pergaduhan tersebut, manakala mereka didapati mengalami kecederaan ringan serta luka,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, pihaknya yang menerima laporan telah menahan kesemua suspek hari ini termasuk mangsa dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Enam orang yang ditahan merupakan warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berusia 29 hingga 47 tahun.

“Polis turut merampas sebilah pisau berhulu warna hitam bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI