PETALING JAYA – Geram dan sakit hati. Demikian luahan perasaan dilontarkan pelakon Nur Fazura berhubung kes penderaan kanak-kanak di taska yang semakin meruncing, sejak akhir-akhir ini.
Pesan Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, pemilik taska perlu berhati perut dan jangan mementingkan keuntungan semata-mata.
“Geram dan sakit hati sebab kebelakangan ini, banyak sangat isu bila ibu bapa hantar anak ke taska tapi, dalam masa singkat, tiga hari atau sebulan, anak-anak cedera kena pukul sampai meninggal dunia apa semua.
“Pesanan untuk semua yang nak bekerja di taska atau nak buka taska dan sebagainya, kalau tak nak jaga anak orang, tak payahlah jaga. Tolonglah.
“Kita dahlah penat melahirkan dan membesarkan anak. Dan, ada di antara kita yang menunggu zuriat bertahun-tahun. Hantar ke taska dua tiga hari, sampai cedera teruk.
“Baru-baru ini (ada kes), sampai tempurung kepala cedera, koma dan ada yang meninggal dunia. Terbaharu, kurung anak-anak kecil di dalam bilik sempit tanpa diberikan makanan dan sebagainya,” katanya menerusi muat naik video dalam TikTok.
Fazura, 40, menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak mementingkan diri sendiri dan mendapatkan rezeki dengan cara halal.
“Nak cari rezeki, tolonglah dengan cara yang berkat dan ikhlas. Kalau tak nak kerja jaga bayi, tolonglah cari kerja lain.
“Tak tahulah. Saya memang sangat-sangat kecewa dan sakit hati. Sebagai seorang ibu, memang saya sangat sakit hati.
“Jadi, siapa yang nak jadi pengasuh ke apa, ataupun nak buka taska, tolonglah upah orang-orang yang betul-betul ikhlas,” ujarnya.
Terdahulu, luluh hati seorang ibu bernama ibu El Ameerah apabila anak yang dihantar ke sebuah taska di Putrajaya pulang dengan kesan lebam dan luka di tangan, pipi serta bawah telinga.
Kata El Ameerah, anaknya yang berusia satu tahun itu diletakkan di dalam bilik kosong yang tidak beralas walaupun telah dibekalkan dengan selimut.
Lebih mengejutkan, dia diberitahu pemilik taska bahawa ruangan itu adalah bilik ‘isolasi’ sementara buat kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun. – KOSMO! ONLINE