fbpx

Bajet sudah habis, kita raya biasa-biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Percaya atau tidak rasanya Aidilfitri tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dengarnya ramai tidak ‘beraya sakan’ tahun ini kerana awal bulan bajet sudah ‘lari’.

Baru sahaja selesai barang sekolah anak-anak termasuk uniform, buku, yuran, transit dan van, kita kena buat persiapan Ramadan dan Aidilfitri pula.

Memang tidak bernafas duit dalam dompet, laju saja keluar macam air terjun bulan lepas dan bulan ini.

Ada peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur memberitahu, sudah masuk dua minggu Ramadan, perniagaan mereka masih belum balik modal memandangkan tapak di situ agak mahal.

Perniagaan terjejas dakwanya kerana pelanggan datang tidak semeriah tahun lepas. Tahun lepas ramai orang ada duit ‘KWSP’ sambil-sambil lepas geram raya kerana dua tahun pandemik Covid-19.

Penulis juga ada ke bangunan PKNS, Shah Alam yang menjadi tumpuan orang ramai membeli baju raya baru-baru ini, nampaknya orang biasa-biasa saja. Tidak sampai ‘bersentuhan bahu’ macam kebiasaan sebelum ini.

Mungkin rata-rata penjawat awam kerajaan negeri tunggu bonus sebulan gaji yang akan dijangka masuk 20 hari bulan ini.

Sekarang baru 11 April lambat lagi tunggu 20 April, penjawat awam Persekutuan pula akan dapat gaji 18 April berserta bantuan khas raya RM700.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja pula memberi cadangan kepada kerajaan agar gaji penjawat awam diawalkan kepada 14 April bagi membolehkan mereka membuat persiapan Aidilfitri kerana 18 April tarikh gaji dekat sangat dengan hari raya.

Bagi kakitangan swasta pula kebiasaan gaji mereka akan masuk akaun pada 25 atau 30 hari bulan, tetapi raya 22 April pula.

Ini lah punca sendunya bazar-bazar Aidilfitiri terkenal di ibu kota, tidak semeriah dahulu, ramai sudah poket kosong sekarang ini kerana persiapan sekolah awal bulan lalu.

Tidak semua orang bertaraf T20 dalam dompet sentiasa ada duit dan seolah-olah tidak pernah kering. Penulis ada seorang kenalan begitu. Duitnya tidak pernah habis atau kering.

Dia sentiasa ada duit walaupun mempunyai anak ramai, bila difikirkan balik mungkin kerana dia sentiasa murah rezeki kerana suka bagi orang makan dan tidak pernah berkira dengan adik-beradik.

Nampaknya kita beraya cara sederhana saja tahun ini sama ada Sabtu atau Jumaat, baju masa pandemik dua tahun lalu bolehlah pakai balik.

Ramai mungkin tidak perasaan baju raya kita dua tahun lalu kerana beraya dalam rumah sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI