ISKANDAR PUTERI – Harimau Selatan terus buas mempamer kuasa apabila meratah skuad Kenari 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, JDT menunjukkan penguasaan dari minit pertama dengan melakukan melakukan gerakan bagi meruntuhkan benteng pertahanan skuad Kenari.
Pasukan kendalian Nafuzi Zain dilihat terpaksa berkerja keras bagi mengekang kemaraan penyandang juara yang menyerang dari pelbagai sudut bagi memburu gol pembukaan pada babak pertama.
Benteng KDA FC akhirnya runtuh jua pada minit ke-23 berpunca daripada sepakan penjuru diambil Juan Muniz mencari Feroz Baharudin yang menanduk ke belakang dan disudahkan Fernando Forestieri melepaskan rembatan dari jarak dekat.
Forestieri berada diprestasi terbaiknya setelah meledak gol ketujuh pada musim ini apabila meledak tujuh gol daripada lapan perlawanan setakat ini.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan pelawat cuba mengatur gerakan bagi mencari gol penyamaan namun tidak berjaya menghasilkan peluang berbahaya ke arah gawang JDT.
Peluang terbaik Sang Kenari hadir pada minit ke-33 menerusi percubaan Willian Lira Sousa namun rembatan dari luar kotak penalti itu sedikit terkeluar dari pintu gol lawan.
Ketiadaan beberapa pemain utama menyebabkan KDA FC gagal menyaingi kekuatan Harimau Selatan dan mencipta peluang bagi menggugat benteng pertahanan JDT.
Bersambung babak kedua, kealpaan pasukan KDA FC dihukum pasukan JDT yang melebarkan kedudukan sekali gus melunturkan semangat juang pasukan lawan.
Kenduri gol Harimau Selatan bermula dengan jaringan Feroz yang berpunca daripada sepakan sudut apabila tandukan pemain pertahanan tengah itu berjaya menewaskan Kalamullah pada minit ke-48.
Selang dua minit kemudian, giliran Oscar Arribas pula memahatkan nama dalam senarai penjaring setelah melepaskan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kenari pada minit ke-50.
Pada minit ke-52, JDT terus menambah derita buat pasukan lawan apabila mencipta jaringan setelah pengadil permainan menghadiahkan sepakan penalti buah pasukan kendalian Esteban Solari setelah Bergson dijatuhkan Akmal Zahir.
Penyerang kelahiran Brazil yang baru pulang dari kecederaan itu tidak berdepan masalah untuk menghukum pasukan lawan bagi melebarkan jaringan pada minit ke-52.
Pada minit ke-76, Arif Aiman menghukum benteng pertahanan lawan meledak gol kelima perlawanan ketika pasukan pelawat sudah tidak lagi berupaya mengekang kemaraan Harimau Selatan.
Leandro Velazquez yang dimasukkan babak akhir permainan melengkapkan pesta gol JDT apabila meledak gol terakhir permainan membolehkan pasukan tuan rumah membelasah skuad Kenari di Stadium Sultan Ibrahim.-KOSMO! ONLINE