PETALING JAYA – Suasana sebak bercampur gembira dapat digambarkan tatkala seorang lelaki yang dibenarkan keluar dari penjara serta disambut oleh anak, cucu serta menantu yang sedia menunggu kepulangannya di luar.
Video tersebut dikongsikan seorang wanita menerusi TikTok yang juga anak lelaki tersebut sekali gus menerima maklum balas positif daripada pengguna yang tersentuh melihat suasana tersebut.
Berdasarkan keterangan video, pengguna TikTok itu memberitahu selama 13 tahun mereka menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran bapa selepas lelaki tersebut dimasukkan ke penjara, manakala lima tahun berhari raya tanpa ibu disebabkan wanita itu telah meninggal dunia.
“Tahun kelima raya tanpa ibu, selama 13 tahun raya tanpa abah. Akhirnya raya 2023 raya dengan abah. Ibu dah tinggalkan kami lima tahun, hati abah sedih sebab keluar-keluar, ibu dah tak ada. Ibu tunggu di syurga.
“Semoga kami sekeluarga bahagia bersama selamanya walaupun tak sempurna. Tapi ibu masih tetap di hati kami semua,” katanya pada hantaran tersebut.
Berdasarkan video itu, bapa kepada wanita itu dilihat memakai baju dan seluar warna putih keluar dari Penjara Kajang serta terus memeluk anak dan cucu yang sedia menunggu di luar.
Menjengah ke ruangan komen, ada pengguna media sosial tersentuh hati serta menangis melihat keluarga tersebut ditemukan bersama bapa mereka.
“Aku menangis tengok video ini. Jaga dan berbaktilah kepada abahmu. Lupakan kisah silam dia, bina hidup baharu. Bangga denganmu adik-beradik,” kata Fiza meninggalkan komen.
“Arwah ibu sis seorang yang hebat mendidik anak-anaknya diajar tidak membenci ayahnya. Semoga berbahagia selalu,” ujar CikDiandra_1.
Dalam masa sama, seorang lelaki difahamkan kakitangan Penjara Kajang turut memuji peribadi bapa wanita itu yang disifatkan seorang yang baik.
“Ya Allah kenangan jaga ayah awak. Dia baik sangat. Cakap pada dia kirim salam,” katanya. – KOSMO! ONLINE