fbpx

Insiden ‘qutex’, Tomok dilimpahi rezeki luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOMOK bersyukur kerana meraih rezeki luar biasa sehingga jadual kerjanya padat selepas raya.

PETALING JAYA – Selepas insiden anak perempuannya tertumpah pengilat kuku atau qutex pada pakaian berjenama, penyanyi Tomok ternyata meraih rezeki yang tidak terduga.

Dia yang sebelum ini perlu membayar ganti rugi hampir RM 6,000 dalam kejadian berlaku di kedai pakaian ternama di sebuah pusat beli-belah di ibu kota baru-baru ini bersyukur kerana insiden tersebut membuka peluang pekerjaannya sehingga ke negara jiran.

“Selepas kejadian, orang panggil saya untuk buat persembahan di Singapura, Kedah dan beberapa lokasi lain lagi.

“Saya dapat rezeki yang tidak disangka-sangka dan yang penting tawaran tersebut bayarannya lebih daripada kerugian yang saya hadapi.

“Jadi, tawaran kerja akan berjalan sehingga selepas raya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya,” katanya.

Menceritakan kejadian sebenar yang berlaku, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, selepas berbuka puasa bersama keluarga, isterinya membeli pengilat kuku berwarna merah jambu buat anak perempuannya, Siti Khadijah.

Meskipun melarang anaknya membuka pengilat kuku ketika mereka memasuki sebuah kedai pakaian, malang tidak berbau apabila botol tersebut terjatuh dan terkena beberapa helai pakaian.

“Sebenarnya, sebelum masuk ke kedai tersebut untuk membeli seluar buat isteri, saya sudah larang dia (Siti Khadijah) membuka pengilat kuku tersebut.

“Namun, pembantu rumah saya membantu dia membuka selepas diminta dan tiba-tiba tertumpah serta terpercik pula pada bahagian koleksi unik.

“Kesemua harga pakaian yang rosak tersebut mencecah RM 7,000 hingga RM 8,000 tetapi saya dapat diskaun,” ceritanya.

Penyanyi kumpulan New Boyz itu bagaimanapun dapat mengawal keadaan dengan baik dan menganggap kejadian tersebut sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati terutama ketika berada di tempat awam.

“Dalam hati saya agak takut juga kerana amaun yang perlu dibayar tinggi tetapi saya perlu kekal tenang dan mengawal emosi kerana tidak mahu tunjuk contoh buruk di depan anak-anak.

“Khadijah memang ada meminta maaf selepas kejadian dan saya anggap sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati di tempat awam.

“Bagi yang ada anak kecil, saya faham sangat kadang-kadang kalau berjaga pun anak memang lebih aktif,” ujarnya.

Dalam kejadian yang berlaku minggu lalu, Tomok terpaksa membayar ganti rugi hampir RM 6,000 disebabkan anaknya tidak sengaja tertumpahkan pengilat kuku sehingga terkena pada empat helai seluar dan beberapa helai baju.

Dia bagaimanapun menjual semula kesemua pakaian koleksi vintaj tersebut pada harga diskaun.

Kejadian tersebut meraih perhatian ramai termasuklah rakan artis yang membantu membeli pakaian tersebut antaranya Shuib Sepahtu dan usahawan Anas Zahrin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI