KUALA LUMPUR – Berbaki dua minggu lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, terus menjadi tumpuan orang ramai membeli barangan keperluan termasuk pakaian raya.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, mereka yang mengunjungi Jalan TAR bukan sahaja terdiri daripada penduduk Lembah Klang, malah ada yang datang dari Sabah, Sarawak dan Brunei.
Biarpun jauh, para pelanggan tidak melepaskan peluang mahu membeli-belah dan merasai kemeriahan di Jalan TAR yang menjadi lokasi tumpuan setiap kali menjelang perayaan.
Antara barangan yang dibeli adalah baju kurung, baju Melayu dan kasut.
Seorang pengunjung dari Sarawak, Nur Aida Morshidi, 43, berkata, dia sudah empat hari berada di ibu negara untuk membeli pakaian raya.
Katanya, Jalan TAR menjadi lokasi pilihan dia sekeluarga kerana terdapat banyak pakaian dijual di samping harganya yang murah dan berkualiti.
“Memang saya datang ke sini semata-mata untuk membeli kelengkapan raya sebab banyak pilihan, harganya pula jauh lebih murah berbanding di Sarawak,” katanya.
Pengunjung dari Sabah, Zaridah Muse, 69, pula berkata, bazar Aildilfitri di Jalan TAR merupakan lokasi tradisi buat dia dan cucunya membeli-belah pada setiap tahun.
“Setiap tahun kami akan datang sini sebab macam-macam barangan ada. Harganya pun boleh tahan murah,” katanya.
Sementara itu, peniaga tudung, Nor Hayati Muhammad, 54, memberitahu, dia turut menerima pelanggan dari Brunei yang datang ke kedainya untuk membeli tudung pada musim perayaan terutama Aidilfitri.
“Mereka (pelanggan) datang jauh ke sini semata-mata untuk membeli tudung untuk dipakai pada hari raya,” katanya.
Jalan TAR merupakan antara lokasi popular bagi orang ramai membeli-belah pada musim perayaan.