KUALA SELANGOR – Malang menimpa seorang pemilik kedai kasut terpakai apabila premisnya dipecah masuk kurang daripada 24 jam beroperasi buat kali pertama di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian disedari pemiliknya, Mohd. Zain Ahmad, 63, kira-kira pukul 1 petang, pada Khamis lalu itu mendapati sebanyak 40 buah kasut berjenama bernilai hampir RM2,000 telah dilarikan oleh penjenayah.
Insiden itu kemudiannya tular sejak beberapa hari lalu menerusi ciapan akaun Twitter anak pemilik kedai tersebut.
Menurut Mohd. Zain, dia terkejut apabila mendapati kunci mangga pintu masuk utama premis itu telah hilang namun tiada sebarang kesan umpil sewaktu ingin membuka kedai tersebut.
Katanya, dia mengesyaki kedai itu dipecah masuk pada awal pagi kerana operasi perniagaannya ditutup pada pukul 9 malam.
“Apabila diperiksa didapati sebanyak 40 daripada 700 pasang kasut lesap dan kesemuanya adalah yang berjenama.
“Saya menganggap semuanya adalah dugaan dan tidak sesekali patah semangat untuk terus berniaga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut datuk kepada 14 cucu itu, dia turut bersyukur kerana kedainya sehingga kini masih menerima sambutan baik pelanggan termasuk dari luar daerah ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan kejadian tersebut.
“Mangsa boleh tampil untuk membuat laporan bagi tindakan dan siasatan lanjut,” katanya. -K! ONLINE