SETIAP kali Ramadan menjelma, pembaziran makanan untuk berbuka puasa sering menjadi isu.
Biarpun pelbagai langkah telah diambil, namun masalah itu masih belum dapat diatasi secara komprehensif.
Oleh demikian, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama anggota Briged Sukarelawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pemuda Gema membuktikan pembaziran 600 tan metrik makanan boleh dielakkan.
Pembaziran berkenaan dapat dielakkan sekiranya ada pihak yang sanggup mengagihkan makanan berlebihan itu kepada golongan memerlukan.
Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, Ts. Mohd. Azmi Amir Khan, pihaknya bersama anggota sukarelawan akan turun ke bazar Ramadan Seksyen 7, Seksyen 19 serta Seksyen 20 di Shah Alam untuk mengumpul makanan yang tidak terjual sekitar pukul 7 hingga pukul 8 malam.
“Program yang diadakan bermula Isnin hingga Jumaat pada bulan Ramadan ini bertujuan untuk mengurangkan pembuangan lebihan makanan ke tapak pelupusan sampah.
“Makanan ini akan dikumpul, ditimbang untuk direkod data. Ia akan dibungkus semula sebelum dihantar kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui pada program MBSA MySave Food @Bazar Ramadan di Seksyen 7 baru-baru ini.
Tambahnya, pihaknya juga mahu memastikan makanan berkenaan tidak dibazirkan dan sampai kepada pihak memerlukan terutama golongan B40.
Mohd.Azmi menjelaskan, pembaziran makanan membabitkan ratusan tan tersebut boleh dielakkan jika usaha pengagihan mendapat kerjasama daripada ramai sukarelawan.
Biarpun program tersebut hanya ‘menyelamatkan’ beberapa ratus kilogram makanan, namun sekurang-kurangnya ada usaha untuk mengurangkan pembaziran di bazar Ramadan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Prof. Madya Dr. Mohd. Azman Yahya berkata, pembaziran makanan bukanlah perkara yang harus dibanggakan.
“Sehubungan itu, saya bersama lapan orang pelajar UiTM daripada Briged Sukarelawan hadir ke program ini bagi mengumpul makanan yang masih elok untuk diagihkan kepada golongan susah.
“Pembaziran ini mesti dihentikan di saat dunia sedang menghadapi krisis makanan,” jelasnya.
Sementara itu, ahli Briged Sukarelawan UiTM daripada, Nor Farisha Alia Mat Faris Rizal, 21, berkata, program MBSA MySave Food @Bazar Ramadan tersebut mengajar dirinya supaya tidak membazir makanan tanpa mengira waktu.
“Program ini mendidik saya untuk tidak membazir makanan yang tidak habis dijual. Ia boleh diberikan kepada golongan yang memerlukan.
“Jika bertan-tan metrik makanan ini terus dibuang, alam sekitar akan tercemar kerana tapak pelupusan sampah tidak mampu menampungnya lagi,” ujarnya.
Sahabatnya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Statistik UiTM, Alia Atika Ahmad, 21, berkata, pihaknya dan MBSA mewujudkan program tersebut untuk memudahkan peniaga mengagihkan makanan berlebihan secara sistematik.
Jelasnya lagi, makanan yang dibungkus semula boleh diagihkan ke masjid atau lain-lain tempat yang berpotensi.
“Biarpun ramai yang ke bazar Ramadan membeli makanan, namun ada juga yang berjimat cermat dan berbuka secara ala kadar.
“Jadi, makanan diagihkan ini sudah pasti dapat menceriakan mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Bagi pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam, Mohamad Naquib Afiq Anwar, 22, program tersebut amat baik.
Jelasnya, program tersebut mampu mengurangkan pembaziran makanan ketika Ramadan.
Ujarnya lagi, program tersebut juga dapat mendidik dirinya untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan beramal dengan melakukan kerja-kerja kebajikan.