KUALA LUMPUR – Polis akan merakam percakapan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes anggota pasukan itu didakwa memeras ugut wanita warga China kerana gagal menunjukkan pasport ketika sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahya berkata, identiti individu tersebut akan didedahkan selepas proses rakaman keterangan selesai.
Khamis lalu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman memberitahu seramai lima individu termasuk anggota polis terlibat telah dirakam keterangan, manakala dua lagi individu akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Yahaya berkata, dua individu terbabit merupakan pemandu e-hailing yang membawa warga China berkenaan serta seorang lagi wanita warga tempatan yang merupakan rakannya yang berada dalam kenderaan sama ketika kejadian.
Terdahulu, video dimuat naik di TikTok @cs_kuan, memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit rakaman kejadian.
Berdasarkan kapsyen video tersebut, anggota polis terlibat didakwa memeras wang sebanyak RM200 daripada seorang wanita berasal dari China ekoran gagal menunjukkan pasportnya kerana tertinggal di hotel.
Mengulas lanjut kes berkenaan, Yahaya berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan kedutaan China bagi mengesan pelancong wanita yang didakwa diperas ugut anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan.
“Kita sudah kenal pasti wanita itu, namun hasil semakan status keberadaan wanita tersebut di negara ini masih belum dapat maklum balas daripada pihak Imigresen.
“Dalam pada itu, nama yang digunakannya (pelancong China) di aplikasi TikTok juga bukan nama sebenar, jadi kita minta bantuan daripada kedutaan China dan Interpol untuk mendapatkan maklumat itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! -KOSMO! ONLINE