fbpx

Dua sahabat maut, Perodua Kancil bertembung van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kereta Perodua Kancil dan van yang bertembung dalam kejadian di Kilometer 26.5, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Pasir Puteh, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS

PASIR PUTEH – Dua sahabat maut apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah van di Kilometer 26.5, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Bukit Jawa, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, Mohamad Azrul Hakim Mohd.Rosli, 20, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dan rakannya, Muhammad Ammar Hakim Mohd. Zainuddin, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, sebuah van jenis Foton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama beberapa penumpang berada di laluan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang berada di jalan bertentangan dipercayai telah memasuki laluan van tersebut.

“Keadaan itu menyebabkan kereta dan van tersebut bertembung. Pemandu kereta Perodua Kancil itu cedera parah pada kedua-dua belah kaki manakala rakannya di kepala dan mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu van hanya mengalami cedera ringan dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zaizul Rizal, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI