MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya Erling Haaland kini sudah mencapai kehebatan seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai penyerang tulen selepas meledak gol peribadi ke-44 musim ini.
Haaland, 23, menyumbat dua gol termasuk menjaringkannya menerusi tendangan akrobatik ketika membantu City menewaskan Southampton 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St. Mary awal pagi semalam.
Ia menyaksikan bintang Norway itu mengumpul 44 gol dalam semua kejohanan untuk semusim dan menyamai pencapaian yang pernah dilakukan Ruud Van Nistelrooy bersama Manchester United pada 2002/2003 dan Mohamed Salah di Liverpool (2017/2018).
“Gol keduanya sangat menakjubkan. Ia bukan mudah untuk mengambil bola di udara dan meletakkannya ke dalam gawang lawan.
“Bakatnya luar biasa dan kami sememangnya memerlukannya. Aksi kami di babak pertama tidak begitu bagus, tetapi dia mengubah perlawanan ini.
“Kita hidup dalam dua dekad yang hebat bersama Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, tetapi dia kini berada pada tahap mereka berdua. Dia menjaringkan banyak gol dan akan terus menambah koleksinya,” kata Guardiola.
Dua lagi gol City dalam perlawanan itu diperoleh menerusi Jack Grealish dan Julian Alvarez, manakala jaringan tunggal Southampton dihasilkan oleh Sekou Mara.
Selain Haaland, perancang City, Kevin De Bruyne muncul pemain kelima mencetak 100 umpanan gol dalam kempen EPL mengikut jejak Cesc Fabregas, Ryan Giggs, Wayne Rooney dan Frank Lampard.
Menariknya, De Bruyne adalah pemain terpantas merekodkan jumlah itu dalam 237 penampilan EPL, memintas Fabregas yang sebelum ini melakukannya selepas beraksi sebanyak 293 perlawanan. – AGENSI