PETALING JAYA – Seramai 200 keluarga asnaf dibantu menerusi Program Pemberian Bakul Makanan anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) sempena bulan Ramadan di sekitar Perlis dalam usaha menyantuni golongan tersebut di samping mengeratkan silaturahim.
Pemberian bantuan itu dihantar dari rumah ke rumah oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani yang hadir menyantuni sendiri 200 keluarga asnaf itu.
Sesi perasmian program tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Padang Besar, Rizal Ismail serta Pengurus Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Syaiful Rizal berkata, bantuan khas ini diberikan kepada setiap keluarga asnaf serta anak yatim yang telah dikenal pasti melalui Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Padang Besar bagi memudahkan proses pemberian bantuan.
Katanya, bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadan.
“YBR amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim, asnaf dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.
“Justeru, YBR akan sentiasa berusaha untuk memperbanyakkan lagi bantuan-bantuan lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, usaha ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah diharapkan menjadi pemangkin kepada organisasi lain untuk turut sama menyantuni mereka yang tidak bernasib baik dalam mengharungi kehidupan dan ekonomi yang semakin mencabar.
Sementara itu, Rizal berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak YBR kerana turun padang melawat mereka yang kurang bernasib baik serta diharapkan bantuan tersebut dapat memberi sinar keceriaan di bulan Ramadan dan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya berharap lebih banyak program- program sebegini dapat diadakan, sekali gus dapat merapatkan lagi ukhuwah di antara organisasi luar dengan masyarakat di Padang Besar ini,” katanya.
Terdahulu, Program Pemberian Bakul Makanan Kepada Keluarga Asnaf sempena bulan Ramadan di sekitar Perlis melibatkan peruntukan setiap keluarga sebanyak RM150. – KOSMO! ONLINE