PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendidikan, kefahaman dan fikrah Islam yang dipelopori oleh alumni Universiti Al-Azhar, Mesir menjadi ‘kubu pertahanan’ akidah umat Islam.
Dalam perutusan video sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia, beliau berkata menjadi tradisi bagi universiti terulung Islam itu menghasilkan ilmuwan yang memberi sumbangan besar bukan hanya kepada Malaysia, malah seluruh dunia.
“Ilmuwan Universiti Al-Azhar diharap dapat terus memperluas dakwah kesedaran dan pengisian ilmu khususnya dalam kalangan masyarakat madani.
“Sebab itu di Seri Perdana, saya sering menganjurkan majlis dan secara kebetulan sama ada syeikh yang datang dari (Universiti) Al-Azhar ataupun mufti atau ilmuwan yang majoriti besarnya adalah kelulusan atau alumni Al-Azhar,” katanya melalui satu video di akaun Twitter miliknya hari ini.
Semalam, majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) telah diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan WOAG menganjurkan majlis itu dan meluncurkan buku “Memahami Pemikiran Melampau”.
“Saya juga mendoakan agar perjumpaan itu dapat menghasilkan kejayaan yang baik untuk mengangkat martabat umat Islam melalui pencerdasan dan kecelikan budaya berdasarkan kefahaman terhadap Islam,” katanya.
Program sambutan tersebut diadakan sempena genap 1,083 tahun penubuhan Universiti Al-Azhar dan sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di peringkat global dicetuskan oleh Pejabat Syeikh Al-Azhar di Mesir. – KOSMO! ONLINE.