MODEL dan pelakon jelita, Emily Ratajkowski akhirnya mengaku bahawa dia sebenarnya sudah menjalinkan hubungan cinta bersama penyanyi, Harry Styles secara diam-diam sejak dua bulan lalu.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia mula berkenalan dengan Styles sejak awal Februari lalu sebelum memutuskan untuk menjadi pasangan kekasih tidak lama kemudian.
Menerusi temu bual dalam sebuah program audio siar (podcast) baru-baru ini, selebriti berusia 31 tahun itu berharap agar hubungannya bersama bekas anggota kumpulan One Direction itu akan bertahan lama.
“Saya harap hubungan kali ini bertahan lama dan tidak musnah seperti sebelum ini,” katanya.
Hubungan cinta model berketinggian 171 sentimeter itu bersama Styles terbongkar selepas tular foto mereka sedang berciuman ketika berada di Jepun pada bulan lalu.