KUALA SELANGOR – Penuntut Universiti Teknologi Mara cawangan Selangor (UCS) Puncak Alam, Nadia Nazurah Amri, 22, tidak menyangka minat dalam sukan lompat tali berjaya melayakkannya bertanding di Kejohanan Dunia Lompat Tali 2023 di Colorado, Amerika Syarikat.
Menurut pelajar kursus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hotel itu, selain dirinya, tiga lagi peserta dari universiti dan sekolah turut bersamanya untuk bersaing dengan peserta lain dari seantero dunia.
“Sebelum ini saya bersaing di peringkat ASEAN di Bangkok, Thailand dan berjaya mendapat No.12 untuk individu, No.5 acara berpasangan dan No.7 bagi berpasukan. Untuk kejohanan dunia saya dan tiga lagi peserta negara akan bertanding lompat tali kategori berprestasi tinggi sahaja.
“Saya berharap acara lompat tali yang mempunyai pelbagai kategori termasuk berirama, individu dan berpasukan yang saya ceburi sejak berusia sembilan tahun akan lebih dikenali dan menjadi sukan yang popular di negara ini,” katanya.
Nadia Nazurah berkata, latihan intensif setiap hari amat diperlukan untuk berjaya dalam sukan lompat tali kerana pemarkahan melibatkan teknik, kepantasan dan stamina.
Tambahnya, sukan lompat tali sudah lama disertainya sejak dari peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan tetapi untuk ke peringkat dunia adalah julung kali buat dirinya.
“Sebelum ini peserta lompat tali negara hanya menyertai kejohanan peringkat Asia Pasifik dan untuk ke Colorado ia adalah kali pertama untuk saya dan tiga lagi peserta.
“Hasil sokongan pihak UiTM, pengurusan UCS dan keluarga, cita-cita saya untuk ‘melompat’ hingga ke peringkat antarabangsa telah dipermudahkan,” katanya yang berasal dari Perlis.
Mengulas lanjut, kunci kepada kemahiran melompat dengan penuh skil adalah minat dan komitmen yang tinggi, yang mana dia pasti akan melompat bila ada masa terluang dan setiap masa dia membawa tali ‘skipping’ di dalam beg sandangnya.
Untuk rekod, Kejohanan Lompat Tali Dunia 2023 yang bakal melibatkan 3,000 peserta dari lebih 30 negara, akan dianjurkan di Ed Robosn Arena di Colorado Springs, Colorado dari 16 hingga 23 Julai depan. – KOSMO! ONLINE