fbpx

Kecoh raya hari Jumaat, tetapi zakat jangan lupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

BEBERAPA hari lalu kecoh me­ngenai ramalan Pusat Astronomi Antarabangsa yang menjangkakan akhir Ramadan pada Khamis bersamaan 20 April 2023, sekali gus Aidilfitri disambut sehari awal pada Jumaat.

Sejak itu, umat Islam di Malaysia mula gelabah dan seakan-akan cemas ibarat cacing kepanasan apabila memikirkan sekali lagi ‘raya terkejut’ bakal berulang kembali seperti tahun lalu.

Pun begitu, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dalam satu kenyataan berkata, meskipun cerapan dibuat di kesemua 29 lokasi, namun hitungan ahli-ahli falak tidak bersifat muktamad.

Jelasnya, keputusan itu ditentukan oleh Majlis Raja-Raja sebelum pengumumannya dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja Raja.

“Islam menetapkan kaedah yang jelas dalam penentuan awal Ramadan dan awal Syawal. Kaedah utama yang dianjurkan sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW adalah berdasarkan rukyah hilal atau melihat anak bulan.

“Malaysia mengamalkan penggunaan kriteria Imkanurrukyah dalam penentuan awal bulan Islam termasuklah bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah sejak tahun 1992.

“Kriteria ini ditambah baik bermula bulan Muharam 1443H setelah kajian semakan semula data-data hilal dilakukan bagi tempoh 30 tahun,” katanya.

Di sebalik kekecohan umat Islam yang masih sampai ke detik ini tertanya-tanya adakah 1 Sya­wal jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu, satu perkara yang jangan dilupakan adalah zakat fitrah.

Zakat fitrah pada istilahnya adalah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan.

Zakat fitrah juga bertujuan memberi makanan kepada orang miskin dan mencukupkan keperluan serta permintaannya pada Hari Raya Aidilfitri pertama.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tahun lalu berjaya mengutip nilai zakat keseluruhan sebanyak RM937 juta, mengatasi sasaran awal RM900 juta.

Kutipan itu meliputi zakat harta RM923 juta, manakala zakat fitrah dengan RM13.75 juta.

Menurutnya, kutipan mening­kat 13 peratus berbanding RM828.7 juta pada 2021, sementara jumlah pembayar zakat juga turut menunjukkan trend pening­katan sebanyak 17 peratus daripada 1.6 juta orang kepada 1.83 juta orang.

“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, PPZ-MAIWP mencapai sasaran kutipan atas beberapa faktor seperti kepelbagaian saluran bayaran zakat serta pelaksanaan promosi zakat secara berterusan dan meluas melalui pelbagai platform.

“Langkah proaktif melalui program agihan baru seperti Kasih Asnaf Zero Hunger MAIWP dan Laman Cendawan meningkatkan keyakinan pembayar serta bakal pembayar untuk membuat bayaran,” ujarnya.

Untuk rekod, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, PPZ-MAIWP berjaya mengagih­kan RM855.52 juta dana zakat kepada 220,769 penerima asnaf menerusi pelbagai program.

Ia termasuklah menerusi skim bantuan zakat, institusi pendidikan dan kebajikan, prasarana umat Islam, belanja penyelenggaraan prasarana serta amil.

Ironinya, tidak kisahlah bila pun Syawal bakal disambut sama ada hari Jumaat atau Sabtu, bagi yang berkemampuan membayar zakat fitrah, ia wajib dilunaskan terlebih dahulu dan jangan dilambat-lambatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI