KUALA SELANGOR – Seekor buaya tembaga seberat lebih 500 kilogram (kg) yang dipercayai kerap ‘menemani’ pemancing ditemui mati di Sungai Selangor berdekatan Kampung Kuantan di sini, semalam.
Bangkai reptilia dikenali umum sebagai ‘Pak Itam’ itu dijumpai terapung oleh penduduk setempat.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, buaya yang belum dikenal pasti jantinanya itu ditarik naik ke darat oleh orang awam.
“Keadaan haiwan seberat 500 hingga 600kg itu didapati sudah kembung dan mulai reput.
“Berdasarkan keadaan fizikal itu, buaya berkenaan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, pihaknya masih menjalankan proses pelupusan bangkai berkenaan.
Terdahulu, penemuan itu tular di media sosial yang memaparkan beberapa gambar bangkai seekor buaya bersaiz besar terapung di Sungai Selangor.
Pemancing udang di sungai itu mendakwa reptilia berkenaan merupakan ‘peneman’ mereka sejak sekian lama.
“Akhirnya Pak Itam pergi di bulan mulia (Ramadan). Selamat jalan Pak Itam.
“Ramai pemancing kenal Pak Itam. Baik dan tidak pernah ganggu orang,” kata mereka. – KOSMO! ONLINE