fbpx

Kerajaan pusat tidak bezakan negeri pembangkang salur peruntukan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika beramah mesra bersama orang ramai ketika Program Nur Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Ar-Rahah sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak sama sekali membezakan mana-mana negeri dalam menyalurkan peruntukan.

Beliau berkata fitnah yang dibawa oleh sesetengah pihak menyatakan bahawa kerajaan ketika ini zalim terhadap negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis adalah tidak benar.

Katanya, kerajaan tetap sentiasa menjaga kebajikan rakyat terutama kepada mereka yang sangat memerlukan selain mengenepikan agenda politik demi kepentingan bersama.

“Empat negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis saya tambah peruntukan banding dengan tahun lalu dengan parti memerintah masa itu.

“Tahun ini kita beri peruntukan lebih kepada empat negeri ini, projek tambahan tebatan banjir Kelantan saya tambah satu lagi bukan sebab saya kasih pada orang Kelantan tetapi sebab Kelantan menghadapi masalah banjir jadi kita mesti selamatkan rakyat di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Nur Ramadan peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Masjid Ar-Rahah malam ini.

Katanya, biarpun rakyat tidak menyokong parti kerajaan ketika ini, namun gerak kerja tetap dijalankan bagi membantu seramai mungkin masyarakat yang memerlukan.

“Tak apa dia (rakyat) tak sokong parti kita pun, tetapi kita jaga rakyat , ini yang dilakukan berbeza dengan fitnah,” ujarnya.

Sementara itu, pada program berkenaan Anwar turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM200 kepada 300 asnaf dan fakir miskin di Parlimen Lembah Pantai pada majlis tersebut.

Jumlah keseluruhan penerima sumbangan Nur Ramadan bagi kawasan Kuala Lumpur pada tahun ini adalah seramai 3,300 penerima meliputi 11 Parlimen di sini yang terdiri daripada fakir miskin, al-gharimin, al-riqab, fisabillah, dan muallaf.

Sumbangan itu diagihkan secara berperingkat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi sumbangan Nur Ramadan di Kuala Lumpur adalah RM660,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI