KOTA KINABALU – Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM300 diberikan kepada seramai 3,957 individu terdiri dari malim gunung, porter, pemandu pelancong, penyelam (divemaster), dan penggiat seni dalam usaha meringankan beban golongan terbabit yang terjejas akibat Covid-19.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan negeri semalam sudah meluluskan penambahan peruntukan Bantuan Prihatin Covid-19 berjumlah RM160 juta.
“Menerusi jumlah itu, kementerian kita menerima peruntukan lebih RM1 juta.
“Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban golongan sasar ketika berhadapan penular wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas perjumpaan bersama Ahli Lembaga Pengarah Taman-Taman Sabah, wakil daripada Persatuan Malim Gunung dan porter bertempat di Pejabat Taman-Taman Sabah hari ini.
Sementara itu, Jafry ketika perjumpaan terbabit turut berkata, beliau menggesa semua pihak yang berkaitan untuk berusaha memperbaiki dan menaiktaraf infrastruktur tempat pelancongan untuk persediaan menerima kedatangan pelancong kelak.