PETALING JAYA – Terpaksa melepaskan minat dan jawatan sebagai Pegawai Perubatan (MO) senior di jabatan kecemasan sebuah hospital menjadi detik paling menyedihkan buat Pegawai Perubatan, Dr. Nik Harriz Izwan Mohammad Alfaisal.
Ujarnya, keputusan itu terpaksa dibuat berikutan kontraknya bersama Kementerian Kesihatan (KKM) yang hampir tamat ketika pandemik Covid-19 sedang ‘mengganas’ pada 2021.
“Sangat penat. Majoriti 85 peratus doktor barisan hadapan Covid-19 ketika itu adalah doktor kontrak. Kontrak saya ketika itu hampir tamat dalam masa beberapa bulan tanpa harapan untuk dilanjutkan apatah lagi diserap.
“Kerja lebih masa dan syif berganda hampir setiap hari. Skop kerja pula babitkan terima pesakit baharu, beri rawatan awal, rawat pesakit-pesakit kritikal dan intensif termasuk intubasi pesakit Covid-19 kritikal.
“Kontrak hampir tamat, tiada peluang sambung kepakaran dengan beban kerja tinggi serta burn out antara faktor utama saya dan beberapa kenalan menarik diri.
“Hari tersebut adalah antara hari paling sedih dalam hidup kerana matlamat dan keinginan sebenar saya adalah menjadi pakar kecemasan sejak dulu,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Namun keputusan itu tidak mematahkan semangatnya apabila terus mengatur strategi bagi mencapai impiannya itu.
“Saya sambung khidmat di sebuah klinik swasta selama dua tahun dan kumpul pengalaman uruskan klinik selain aktif dengan aktiviti luar seperti badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), TEMS (Task Emergency Medical Services).
“Dengan menyediakan khidmat penjagaan kecemasan, saya berpeluang ke Turkiye baru-baru ini untuk mengetuai pasukan perubatan bagi perkhidmatan kemanusiaan dan perubatan mangsa gempa bumi di sana,” ujarnya.
Tidak berterusan mengeluh dan ‘meratapi’ nasib, beliau terus mengorak langkah meneruskan cita-cita yang terputus di tengah jalan.
“Jadi doktor ni kena ada perkembangan, ilmu tidak boleh statik sahaja jadi saya pilih berhenti KKM sebab tak nampak peluang untuk sambung kepakaran.
“Sekarang dua klinik sedang beroperasi, manakala dua buah lagi dalam masa terdekat selain memiliki sebuah syarikat yang membekalkan peralatan perubatan seperti alat defibrilator automatik (AED).
“Semua ni diusahakan oleh lebih 10 orang teman yang turut berhenti daripada KKM,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE