MENGIMBAS kembali detik wabak Covid-19 menerjang seluruh dunia pada 2020, hampir kesemua sektor perekonomian lumpuh termasuklah industri seni hiburan.
Bagi penyanyi Muna Shahirah, rezekinya terputus apabila tidak dapat menjayakan persembahan seperti biasa ekoran wabak yang melanda.
Namun selagi ada usaha, masih banyak ruang rezeki lain yang tidak disangka-sangka boleh menjadi pengganti bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.
Bermula tiga tahun lalu sejak pandemik menular, Muna atau nama lengkapnya Muna Shahirah Munadi, 28, menjadikan aktiviti bermain permainan video dalam talian, Player Unknown’s Battlegrounds atau PUBG sebagai sumber pendapatan.
Siapa sangka, bermula sekadar suka-suka, penyanyi asal Mersing, Johor itu kini menjadikan PUBG sebagai sumber pendapatan utamanya yang merupakan kerjaya menjanjikan bayaran lumayan.
“Ketika saya hilang punca pencarian sebagai penyanyi semasa Covid-19 tiga tahun lalu, adik saya sarankan bermain PUBG. Katanya sedikit sebanyak boleh mendatangkan pendapatan.
“Alhamdulillah selepas tiga tahun, saya kini bergelar seorang pemain PUBG profesional malah bekerja dalam bidang ini secara serius untuk menjana pendapatan,” kata Muna.
Tambah bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-11 itu, orang lain juga boleh menjadi sepertinya, namun perlu tahu cara dan masa yang betul.
“Kena ikat kontrak dengan sesebuah syarikat. Kalau bermain untuk diri sendiri, susah nak jana pendapatan lumayan.
“Seperti saya ikat kontrak bersama Facebook. Semuanya terjadi apabila salah sebuah kandungan saya ‘meletup’. Jadi pihak Facebook sendiri menghubungi saya untuk ikat kontrak bersama mereka.
“Jadi majikan saya sekarang ialah Mark Zuckerberg (pengasas Facebook),” jelasnya.
Sama seperti pekerja di mana-mana syarikat, Muna menerima gaji setiap bulan berserta slip gaji dan caruman Perkeso.
“Dalam sebulan saya boleh jana pendapatan mencecah sehingga lima angka. Pernah sekali saya menjana pendapatan sehingga enam angka.
“Waktu bekerja pula saya suka bekerja dua minggu kemudian cuti dua minggu dalam sebulan. Saya boleh tentukan masa sendiri. Contohnya dalam sebulan berapa jam saya akan luangkan masa bermain PUBG,” jelasnya.
Disoal tentang persepsi masyarakat apabila dia menjadikan aktiviti tersebut sebagai kerjaya sepenuh masa, Muna berkata, jangankan masyarakat, ibu bapanya sendiri pada awalnya tidak suka dia membabitkan diri dalam bidang yang diceburi ini.
“Mereka tak suka sebab ada masanya perlu bermain sehingga lewat pagi.
“Tapi bila beritahu yang kerjaya ini boleh mendatangkan pendapatan, baru mereka faham,” jelasnya.
Bercerita tentang persiapan sambutan Aidilfitri pula, Muna bersyukur kerana sejak menceburi bidang permainan video, rezekinya mencurah-curah dan tidak lokek mengeluarkan belanja buat keluarganya.