fbpx

Netanyahu kerah polis, askar simpanan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POLIS Israel berkumpul di sebelah kereta yang terbalik di lokasi serangan di Tel Aviv kelmarin. -- AFP

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggerakkan pasukan polis dan askar simpanan kelmarin selepas tiga orang termasuk seorang pelancong Itali, terbunuh dalam serangan berasingan yang berlaku di Tebing Barat dan Tel Aviv.

Di sebalik rayuan untuk bertenang, keganasan semakin memuncak sejak polis Israel menyerang jemaah Palestin di masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis Timur pada Rabu lalu dengan Rejim Zionis mengebom Semenanjung Gaza dan Lebanon, susulan bedilan roket oleh pejuang Palestin

Ketegangan terbaharu itu berlaku semasa penduduk Yahudi meraikan perayaan Paskah dan umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.

Terdahulu kelmarin, dua adik-beradik perempuan berketurunan Israel-Britain yang masing-masing berusia 16 dan 20 tahun terbunuh, manakala ibu mereka cedera parah dalam serangan tembakan di wilayah Tebing Barat yang dijajah Israel.

Tentera Israel berkata, pihaknya masih memburu pelaku.

Selepas itu, seorang lelaki terbunuh dan tujuh mangsa lain berusia antara 17 tahun hingga 74 tahun cedera di pusat bandar Tel Aviv

apabila sebuah kereta merempuh orang ramai di laluan berbasikal di kawasan pinggir pantai, kata perkhidmatan penyelamat dan polis Israel.

“Semua mangsa ialah pelancong,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan David Adom.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni mengenal pasti mangsa yang mati sebagai Alessandro Parini, berusia 36 tahun.

Pengurusan Hospital Ichilov di Tel Aviv berkata, pihaknya telah merawat tiga rakyat Britain dan seorang warga Itali yang cedera dalam kejadian itu.

Seorang jurucakap polis memberitahu AFP bahawa ‘suspek telah dineutralkan (dibunuh)’.

“Ini adalah serangan pengganas terhadap orang awam, serangan merempuh kereta,” katanya.

Tidak lama selepas itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan polis Israel untuk menggerakkan semua unit polis sempadan simpanan dan tentera mengerahkan pasukan tambahannya.

Kedua-dua insiden kelmarin berlaku selepas Israel melancarkan serangan udara dan bedilan artileri sebagai membalas tembakan roket dari Semenanjung Gaza dan Lebanon.

“Israel menyerang sasaran termasuk infrastruktur milik organisasi pengganas Hamas di selatan Lebanon,” kata tentera Rejim Zionis.

Wartawan AFP mendengar letupan di rantau Tyre di Lebanon serta Gaza, di mana serangan udara Israel bermula sebelum tengah malam.

Tentera Lebanon berkata, pihaknya menemui dan membongkar pelbagai pelancar roket di sebuah ladang zaitun di kawasan Marjayoun dekat sempadan Israel.

Tentera Israel pula berkata, sistem pertahanan udaranya telah memintas 25 roket pada Khamis lalu, manakala lima roket itu meletup di wilayah Israel.

Israel ‘tidak akan membenarkan organisasi pengganas Hamas beroperasi dari Lebanon”, tambahnya.

Kelmarin timbalan ketua gerakan Hizbollah, Naim Qassem berkata, ancaman dan ugutan pemimpin Zionis tidak ke mana.

Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon(UNIFIL) yang mengawal kawasan di sempadan kedua-dua wilayah, menggesan semua pihak terbabit supaya bertenang dan tidak memburukkan lagi situasi semasa sambil menambah: “Kedua-dua pihak (Israel dan Hizbollah) telah menyatakan bahawa mereka tidak mahu perang.” – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI