DI SAAT orang lain bergembira menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga tercinta, namun tidak bagi seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Is.
Pak Is merupakan gelandangan yang hidup sebatang kara di ibu kota Kuala Lumpur dan bagi meneruskan hidup, dia yang merupakan seorang warga emas hanya mengharapkan bantuan insan sekeliling.
“Saya telah dibuang oleh keluarga saya sendiri. Saya tidak menyalahkan mereka kerana ini semua berlaku atas kesilapan saya sendiri.
“Ini mungkin balasan yang harus saya terima atas apa yang telah saya lakukan kepada keluarga saya sendiri sebelum ini,” katanya kepada Panorama.
Menceritakan kembali kisahnya, Pak Is berkata, dia dahulu boleh dikatakan seorang yang berjaya dan tidak memiliki sebarang masalah kewangan. Ini kerana dahulunya dia merupakan seorang usahawan dalam bidang automotif.
Ketika berjaya, dia amat mengabaikan keluarganya, malah sanggup mencurangi isterinya.
“Pada ketika itu, dengan kekayaan yang ada, saya lupa Allah dan melakukan perkara yang dilarang termasuk minum arak, berzina serta berjudi.
“Malah, saya juga sering memukul isteri dan anak-anak jika ada perkara yang tidak memuaskan hati saya,” terangnya.
Namun, langit tidak selalunya cerah, perniagaan yang diusahakan oleh Pak Is berhadapan dengan masalah kewangan.
Bahkan, walau dalam keadaan tersebut, dia masih meneruskan tabiatnya itu dan isterinya yang menjadi mangsa.
“Isteri saya turut bekerja dan pada ketika itu saya menggadai barang kemas miliknya serta mengambil wangnya untuk berhibur.
“Bukan itu sahaja, pada ketika itu saya sanggup memukulnya apabila dia tidak memberi wang kepada saya,” ulasnya.
Dalam pada itu, Pak Is juga telah membuat pinjaman ah long apabila keadaan terdesak.
Apabila dia tidak dapat menyelesaikan pinjaman itu dia melarikan diri untuk bersembunyi dan akhirnya keluarganya menjadi mangsa.
Pak Is berkata, pada suatu hari dia pulang ke rumahnya dan dia mendapati isteri dan anak-anaknya tiada di rumah. Malah, isterinya turut meninggalkan nota bahawa mereka telah keluar dari rumah tersebut untuk memulakan kehidupan baharu tanpanya.
“Isteri saya juga meminta agar saya tidak mencari mereka sekeluarga dan dia juga telah menyelesaikan pinjaman saya dengan ah long.
“Pada ketika itu, saya baru sedar dan semuanya sudah terlambat. Saya cuba menjejaki mereka tetapi tidak ditemui,” jelasnya.
Pak Is juga perlu keluar dari rumahnya apabila pihak bank terpaksa melelong kediamannya itu kerana dia sudah tidak mempunyai kemampuan untuk membayarnya.
Sejak dari situ, Pak Is hilang arah untuk mendapatkan bantuan dan lama-kelamaan dia menjadi seorang gelandangan.
“Saya amat merindui keluarga saya tetapi mereka telah membuang saya dalam kehidupan mereka. Saya menerima takdir ini, saya faham mengapa mereka berbuat demikian kepada saya,” terangnya.