fbpx

YNH bakal bina projek hartanah di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukisan grafik projek pembangunan bercampur terbaharu YNH di Negeri Sembilan.

PETALING JAYA – YNH Property Berhad (YNH) telah memperoleh arahan pembangunan daripada Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) baru-baru ini untuk membina 2,200 unit pembangunan perbandaran bercampur di Negeri Sembilan.

Pengurus Besar YNH, James Ngio berkata, projek hartanah  yang terletak kira-kira 40 kilometer dari  Seremban itu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bagi kawasan tersebut, sambil memenuhi permintaan kukuh untuk rumah berkualiti dan mampu milik.

Menurut beliau, nilai pembangunan kasar bagi perbandaran itu dianggarkan berjumlah RM600 juta.

“Arahan pembangunan yang diterima daripada MDKP untuk perbandaran baharu di Kuala Pilah ini merupakan peristiwa penting bagi YNH kerana ia menandakan kemasukan syarikat ke Negeri Sembilan, sebuah wilayah pertumbuhan tinggi di Koridor Selatan Greater Kuala Lumpur.

“Kami berharap dapat membawa kepakaran  yang terbukti serta rekod prestasi kukuh dalam pembangunan perbandaran ke Negeri Sembilan ini dan kami yakin perbandaran baharu ini akan menyumbang ke arah pertumbuhan sosio-ekonomi yang positif,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

YNH mempunyai rekod prestasi membangunkan 13,000 unit pembangunan bercampur di
perbandaran Seri Manjung, Perak sejak 1982 yang telah menarik sejumlah besar kepentingan kediaman, runcit dan komersial serta merangsang aktiviti pelancongan di kawasan itu.

“Pembangunan perbandaran Kuala Pilah dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi Kumpulan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Projek ini juga akan mengukuhkan reputasi kami sebagai pemaju pilihan untuk perbandaran yang berjaya,” tambahnya.

YNH memaklumkan, pelan induk projek yang sedang dimuktamadkan itu akan memberi tumpuan kepada kemampanan, merangkumi konsep Live, Work, Play.

Hak milik individu bagi projek tersebut juga telah diperolehi daripada Pejabat Tanah Kuala Pilah.

Jelasnya, fasa satu  projek  tersebut yang terdiri daripada 500 unit kediaman itu dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI