PETALING JAYA – Fajarbaru Builder Group Berhad (Fajarbaru) telah berjaya meraih kontrak utama dalam tempoh kurang dua bulan selepas menerima kontrak pembinaan daripada WCT Holdings Berhad bulan lalu.
Projek tersebut diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd., Kumpulan telah menerima surat anugerah daripada Penang Development Corporation (PDC).
Projek itu adalah untuk membina tiga blok pangsapuri kos rendah dan sederhana di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, projek yang bernilai RM125.3 juta itu adalah untuk fasa empat projek pembangunan bercampur yang terdiri daripada dua puluh lima fasa.
Fasa empat terdiri daripada satu blok pangsapuri kos rendah dan sederhana 12 tingkat (149 unit); satu blok pangsapuri kos sederhana 14 tingkat Jenis A (149 unit); satu blok pangsapuri kos sederhana 19 tingkat Jenis B (222 unit), lima unit lot kedai dan satu blok dua tingkat bagi tempat letak kereta dan motosikal.
Kontrak akan berkuat kuasa selama 36 bulan, bermula pada 15 Jun 2023 dan dijangka siap pada 14 Jun 2026. Kontrak itu disasarkan akan menyumbang kepada keputusan Kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY2024) dan seterusnya.
“Anugerah daripada PDC milik kerajaan Pulau Pinang itu menandakan kepercayaan mereka terhadap rekod prestasi kami dan kualiti perlaksanaan projek.
“Projek ini akan memberikan kesan positif kepada pendapatan Kumpulan. Melangkah ke hadapan, Fajarbaru akan giat berusaha ke arah mendapatkan lebih banyak projek bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Pada 3 Mac 2023, Fajarbaru mengumumkan kejayaannya memperoleh kontrak pembinaan RM310.54 juta untuk tiga blok kondominium daripada anak syarikat tidak langsung WCT Holdings Berhad, Kekal Kirana Sdn Bhd.
Kontrak itu telah bermula pada 15 Mac 2023 dan dijangka akan siap dalam 35 bulan, atau pada 14 Feb 2026. -KOSMO!ONLINE