KLANG – Seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah di sini merayu suaminya tampil ke Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi menyelesaikan kes tuntutan cerai mereka pada 9 November depan.
Farakhida Mahmudi, 42, berkata, suaminya, Zul Malik Mat Zain, 41, didapati ingkar tampil sebanyak empat kali dalam prosiding tersebut meskipun arahan telah dikeluarkan oleh pihak mahkamah sebelum ini.
Katanya, dia berharap proses permohonan fasakh dapat diteruskan seandainya suaminya itu tetap tidak hadir nanti.
“Kami telah berkahwin selama 16 tahun dan sering ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang nafkah untuk perbelanjaan dua anak mereka.
“Tambahan, saya tidak sanggup lagi digantung tidak bertali oleh suami yang gagal dikesan sehingga kini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Jelas Farakhida, dia telah berulang kali menghubungi suaminya namun panggilan tidak pernah dijawab dalam menyelesaikan kemelut rumahtanga mereka.
“Saya cuma berharap suami dapat memberikan kerjasama buat kali terakhir sebelum masing-masing meneruskan kehidupan secara berasingan,” katanya. – K! ONLINE