PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan akibat terkena asid yang digunakan oleh jiran atas dalam kejadian di sebuah apartmen di Kepong, baru-baru ini.
Menurut Reza Samat, kejadian tersebut berlaku ke atas keluarga adiknya yang ketika itu sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa.
“Orang tingkat atas simbah asid dalam paip (pembentung), anak dia yang kena. Tiba-tiba paip mengembang dan bocor. Bau belerang sangat kuat.
“Kebetulan anak dia berusia enam tahun tengah mandi and menjerit sebab asid dah masuk mata,” katanya dalam hantaran di Twitter, semalam.
Reza berkata, anak buahnya itu kini masih dalam pemantauan doktor, namun tiada kecederaan serius yang dialaminya.
“Terus bawa pergi kecemasan. Doktor masih pantau. Katanya badan gatal-gatal dan dia dah trauma nak mandi di situ,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Reza memberitahu bahawa jiran terbabit telah mengaku menggunakan asid untuk membaiki paip rumahnya yang tersumbat.
“Adik saya dah ketuk pintu jiran tersebut dan dia mengaku baru tuang asid. Mungkin niat dia betul, tetapi menggelabahlah bila dah kena budak-budak.
“Ikut kata pihak pengurusan (apartmen), hasil siasatan mengatakan asid itu memang tak sesuai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE