SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan yang semua barang kawalan termasuk minyak masak peket bersubsidi adalah mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri nanti.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, jaminan itu diberi susulan dakwaan masih terdapat rungutan dalam kalangan pengguna terutamanya mengenai masalah kekurangan barang kawalan itu di pasaran ketika ini.
Dalam isu melibatkan minyak masak peket itu katanya, tidak timbul sebarang krisis dan bekalan yang disalurkan iaitu sehingga 60,000 metrik tan sebulan adalah mencukupi setakat ini.
“Saya juga ada terima aduan dan mengakui bahawa memang terdapat dapat kekurangan bekalan (minyak masak peket) dan ia berlaku di beberapa tempat yang tertentu dan pada masa tertentu.
“Tapi, kalau aduan itu kita terima cepat, dalam masa yang singkat juga, pegawai (KPDN) akan bertindak dan pastikan bekalan tersebut diperiksa. Kalau memang betul ada masalah, mereka (pegawai) akan usaha untuk dapatkan bekalan dari tempat lain (buat sementara waktu),” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika melancarkan Program Memacu Kehidupan di Hari Raya Aidilfitri Inisiatif bersama Bakul Rahmah yang dijalankan dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad (PDB) serta beberapa agensi berkaitan di stesen minyak Petronas berhampiran Lebuh Raya Kulim-Butterworth (BKE) hari ini.
Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, antara faktor yang menjurus ke arah kekurangan bekalan minyak masak peket itu adalah disebabkan oleh pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) selain isu kredit melibatkan peruncit dan pemborong.
“Bagaimanapun, itu hanya kes terpencil sahaja. Tapi, kalau berlaku juga, boleh adukan dengan segera untuk kita bertindak cepat bagi memulihkan bekalan,” katanya.
Tambah beliau, selain bekalan minyak masak peket, bekalan ayam, telur ayam dan sayur-sayuran juga adalah mencukupi sehingga Aidilfitri nanti berdasarkan fakta-fakta yang dikongsikan bersama khususnya dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika ini. – KOSMO! ONLINE