PETALING JAYA – Rata-rata doktor kontrak atau pegawai perubatan (MO) berdepan risiko kemalangan selepas menghadapi beban kerja yang berat dan tidak setimpal dengan elaun ‘on-call’ RM9 sejam.
Seorang pegawai perubatan kontrak di sebuah hospital kerajaan dikenali sebagai Dr. Samsul berkata, dengan beban kerja yang berat dan waktu kerja lebih 24 jam sehari, jumlah elaun itu tidak berbaloi dengan nilai nyawa sendiri yang perlu ‘digadai’.
“Tidak berbaloi kalau diikutkan, doktor terpaksa korban kesihatan sendiri untuk merawat orang lain. Kami berdepan waktu kerja yang panjang menyebabkan tak cukup tidur dan makan tak tentu masa.
“Semua ni boleh merisikokan kami post call (waktu selepas melakukan on call) kemalangan sebab microsleep,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi doktor kontrak dikenali Dr. Yazid mencadangkan, supaya semua doktor kontrak diberi manfaat atau faedah yang sama dengan pegawai berjawatan tetap.
“Kalau di jabatan kecemasan kami kerja ikut syif, 7 atau 10 jam (syif berganda 14 jam), kurang berbanding ‘on-call’ di jabatan lain.
“Saya berpendapat kalau masih kontrak tetapi faedah yang diterima sama seperti pegawai tetap, masih boleh diterima akal.
“Selain tu saya rasa perlu ada panduan jelas untuk diserap ke jawatan tetap supaya semua yang diserap tu boleh berfungsi dengan bagus,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengulas tentang sasaran kerajaan untuk menyerap baki pegawai kontrak ke jawatan tetap dalam tempoh tiga tahun lagi.
“Tunggu dan lihat. Selagi tiada hitam dan putih, selagi tu tak boleh percaya,” katanya ringkas.
Semalam, Kosmo! melaporkan, kadar elaun ‘on-call’ RM9 sejam yang diterima pegawai perubatan di hospital kerajaan dianggap tidak setimpal dengan bebanan kerja yang ditanggung.
Malah, bayaran elaun itu adalah lebih rendah berbanding ‘upah’ diterima pekerja sambilan di rangkaian restoran minuman kopi premium.