BEIJING – Seorang pencuci pinggan di wilayah Sichuan, China dihantar ke restoran tempat dia bekerja dengan menaiki sebuah kereta Bentley, lapor laman berita Mothership semalam.
Video memaparkan wanita itu turun dari kereta Bentley tular di aplikasi Weibo. Dia kelihatan hanya memakai kemeja merah jambu, but getah dan apron.
“Apa yang (wanita itu) kurang bukan wang, tetapi sesuatu untuk dilakukan,” demikian kapsyen hantaran tersebut.
Menurut laman Oriental Daily dan China Times, wanita itu sebenarnya sangat kaya, tetapi dia memilih mencuci pinggan di restoran untuk menghabiskan masa lapang.
Pemilik restoran itu juga berkata bahawa keluarga wanita itu sebenarnya berada.
Bagaimanapun, wanita itu mengakui niatnya bekerja di restoran bukan untuk mencari wang, tetapi untuk menghilangkan kebosanan.
“Ia sangat membosankan di rumah, dan saya berasa tidak selesa jika tidak membasuh pinggan selama sehari,” kata wanita itu.
Orang yang memandu kereta Bentley itu sebenarnya anak perempuan kepada wanita tersebut.
Menurut Oriental Daily, gadis itu tidak dapat menghalang ibunya daripada meneruskan hasratnya, tetapi dia menyokong dengan bersungguh-sungguh menghantarnya dan menjemputnya dari restoran setiap hari. – Agensi