WASHINGTON – Seorang budak perempuan berumur lima tahun di Amerika Syarikat (AS) membeli pelbagai mainan dan aksesori menggunakan telefon bimbit milik ibunya, lapor saluran berita Fox News.
Jessica Nunes terkejut apabila beberapa pengesahan penghantaran barang daripada peruncit online, Amazon dihantar kepada e-melnya.
“Saya melakukan log masuk ke dalam akaun Amazon dan melihat pesanan lima mainan motosikal merah jambu, lima motosikal biru, sebuah jeep dan 10 pasang but koboi perempuan,” kata Nunes.
Jelas Nunes, anak perempuannya, Lila Varisco, 5 yang belum tahu membaca dan menulis telah membuat pembelian sebanyak AS$3,000 (RM13,207) di aplikasi Amazon.
Varisco kebiasaannya tidak bermain telefon bimbit ibunya atau mana-mana peranti tanpa pengawasan. Menurut Nunes, budak itu membuat pembelian ketika memegang telefonnya selama 15 minit.
Nunes berkata, dia tidak pernah membeli apa-apa di hadapan anak perempuannya dan tidak mengetahui bagaimana budak perempuan itu belajar untuk menyelesaikan transaksi.
Dia memberitahu anaknya bahawa kesemua mainan itu akan dikembalikan. Dia berharap untuk mengajar anaknya sesuatu bermakna tentang wang. – Agensi