fbpx

Kecederaan ganggu persembahan Tiger Woods

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WOODS ketinggalan sembilan pukulan berbanding kelompok pendahulu pada Kejohanan Masters kali ini ekoran kecederaan kaki yang dialaminya. – AFP

GEORGIA – Bekas pemain No. 1 dunia, Tiger Woods mengakui agak bergelut untuk mempamerkan prestasi terbaik pada pusingan pertama sai­ngan golf berprestij, Kejohanan Masters kerana kecederaan yang dialami belum pulih sepenuhnya.

Pada aksi di Lapangan Nasional Augusta itu, Woods ketinggalan sembilan pukulan dengan jaguh dari Norway, Viktor Hovland yang berkongsi kedudukan pertama bersama Brooks Koepka dan Jon Rahm yang mencatatkan tujuh di bawah par.

Kata Woods, kecederaan di bahagian kaki masih lagi dirasai sekali gus menjejaskan misinya untuk bergelar juara kejohanan bertaraf major itu selepas kali terakhir menang pada edisi 2019.

“Saya tidak berada dalam keadaan terbaik kali ini. Kaki kiri saya boleh berfungsi de­ngan baik, tetapi kaki kanan mengalami sedikit kesakitan dan ia menyukarkan hasrat saya untuk tampil kompetitif pada pusingan pertama.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan apa yang saya pamerkan dan harap dapat meningkatkan momentum yang lebih baik pada beberapa pusingan seterusnya nanti,” kata Woods yang pernah bergelar juara lima kali Kejohanan Masters.

Atlet kelahiran Amerika Syarikat berusia 48 tahun itu sebelum ini turut memberi bayangan ini bakal menjadi saingan Masters terakhir dalam kariernya selepas membuat penampilan buat kali ke-25 tahun ini.

“Saya tidak tahu berapa lama lagi saya boleh bertahan (sebelum bersara), tetapi saya harap dapat melalui pengalaman terbaik pada kempen kali ini,” kata pemenang kejohanan major sebanyak 15 kali itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI