CETUSAN kreativiti sekumpulan guru berhasil mengubah suai bilik terbiar di Sekolah Kebangsaan Datuk Akhir Zaman, Rantau, Negeri Sembilan menjadi sebuah bilik kokurikulum berkonsepkan moden glam.
Proses mengubah suai bilik kecil berkeluasan 9 x 23 kaki persegi itu memerlukan masa dua minggu untuk ditransformasikan sepenuhnya di segenap sudut.
Hasil kerjasama dengan ahli jawatankuasa kokurikulum itu berhasil merubah bilik usang berwarna merah jambu tersebut kepada bilik bertemakan biru, kelabu dan putih yang menimbulkan mood nyaman, tenang dan profesional.
Penukaran warna dan penambahan papan Medium Density Fiber (MDF) sebagai battern wall pada bahagian dinding serta susun atur yang kemas menjadikan ruang kecil itu tampak luas dan memiliki fungsi nyata.
Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum sekolah tersebut, Rafidah Ramly, 41, sokongan daripada Guru Besar sekolah berkenaan, Sarina Yahya, 53, memudahkan proses pengubahsuaian dan dekorasi dilakukan.
“Saya memang suka membuat hiasan dalaman rumah, jadi inspirasi datang daripada situ. Saya nak jadikan bilik kokurikulum memiliki keselesaan seperti di rumah.
“Bilik yang dulunya terbiar, kini sudah menjadi bilik pengurusan kokurikulum. Segala fail-fail kokurikulum diletakkan dalam bilik itu. Mesyuarat kokurikulum juga dibuat di dalamnya.
“Untuk bilik ini, saya guna tema moden dengan sentuhan glam. Saya banyak buat rujukan di media sosial untuk dapatkan ilham,” katanya kepada Deko.
Tambah Rafidah, ubah suai yang dilakukan tersebut tidak memerlukan kos tinggi kerana kebanyakan barangan sama ada dibeli di Shopee atau diubah suai daripada barangan lama sedia ada.
Lantai simen lama yang ditampal dengan vinyl floor diserlahkan lagi dengan permaidani velvet menyerlahkan estetika hiasan dalaman.
Suntikan mewah dapat dilihat pada kehadiran candelier antik di atas meja mesyuarat serta penggunaan mesin jahit lama yang disembur dengan warna keemasan sebagai aksesori bilik tersebut.
“Untuk candelier dan kerusi-kerusi, saya beli di Shopee. Bagi meja mesyuarat dan kerusi panjang, memang sudah sedia ada di sekolah.
“Saya juga ubah suai mesin jahit lama yang orang beri dengan menyemburkan cat keemasan, kemudian saya letak cermin lutsinar sebelum menyusun hiasan di atasnya,” jelasnya lagi.
Biarpun ruang tersebut hanya mampu diakses oleh guru, Rafidah turut menyediakan galeri kokurikulum di bahagian tangga menghala bilik kokurikulum tersebut buat murid-murid tersayang.
Ruang yang turut memerlukan masa dua minggu untuk siap dihiasi itu menggunakan konsep doodle kartun bagi menarik minat kanak-kanak dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun sekolah itu.
Pada ruang kecil tersebut, sebahagian simen dilitupi dengan hiasan karpet rumput dan dindingnya pula ditambah dengan flute wall berserta cermin-cermin kecil.
“Di bahagian galeri kokurikulum, kami menyediakan kerusi dan meja kecil untuk murid-murid boleh duduk santai.
“Ruangan itu masih belum siap sepenuhnya, saya akan buat Wall of Fame dengan meletakkan gambar-gambar tokoh sukan negara supaya murid-murid kenal mereka,” tuturnya.