PUTRAJAYA- Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan iaitu 0.9 peratus berbanding Februari 2023 seiring dengan trend peningkatan harga bijih timah dan besi utama di peringkat global.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, laporan World Steel Association menjelaskan pengeluaran besi global adalah 142.4 juta tan pada Februari 2023 iaitu mencatatkan penurunan 1 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
“World Steel Association turut menyatakan pengurangan pengeluaran daripada negara pengeluar terkemuka seperti Jepun dan Amerika Syarikat iaitu masing-masing sebanyak 5.3 peratus dan Rusia 8.6 peratus.
“Selain itu, berdasarkan laporan Consumer News and Business Channel (CNBC) pada Mac 2023, permintaan keluli di China juga dijangka perlahan dan seterusnya boleh menjejaskan harga bijih besi hampir 30 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, menurut penganalisis, harga bijih besi juga akan jatuh berikutan pengeluaran berkurangan daripada pengeluar keluli terkemuka dunia iaitu China serta perancangan negara itu ke arah perluasan penggunaan sekerap keluli.
“Selain itu, indeks harga seunit simen turut meningkat 1.1 peratus pada Mac 2023 berbanding Februari 2023. Namun begitu, harga bahan itu meningkat dengan kadar lebih perlahan berbanding dua bulan lepas.
“Antara penyumbang utama kenaikan harga pasaran simen ialah peningkatan kos pengeluaran yang masih berterusan seperti peningkatan harga bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu, tenaga dan kos penghantaran,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, katanya, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan antara 1.2 hingga 10.2 peratus pada Mac 2023 berbanding bulan sama tahun lalu.
“Indeks harga bagi seunit simen dan batu bata serta dinding meningkat masing-masing 10.2 dan 8.0 peratus bagi Mac 2023 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Namun begitu, indeks harga bagi seunit bagi besi pula telah mencatatkan penurunan iaitu 0.6 peratus,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE