BENTONG – Polis menahan dua lelaki yang disyaki menggunakan gelaran Datuk Seri palsu dalam satu serbuan di sebuah rumah di sini dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, lelaki berusia 44 dan 45 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan polis di sebuah rumah pada pukul 8.15 pagi Selasa lalu.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah dan pejabat suspek, pihak polis berjaya merampas watikah pengurniaan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah (S.S.A.P) serta pakaian istiadat lengkap.
“Selain itu polis turut merampas set bintang kebesaran ‘Dato Sri’ dan lambang darjah kebesaran ‘Dato Sri’ yang diletakkan pada ruangan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963.
Tambahnya suspek berumur 45 tahun turut disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 kerana terlibat dalam aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen.
Dalam pada itu beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf demi kepentingan peribadi bagi tujuan-tujuan tertentu.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki tentang aktiviti-aktivitu penyamaran seperti ini kepada pihak polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE