PUTRAJAYA – Isu ‘raya awal’ yang kecoh dalam kalangan umat Islam di Malaysia ketika ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
Perkara itu dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwa Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemui pada satu program di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut bila mesyuarat bersama jawatankuasa itu akan diadakan.
Mohd. Na’im berkata, beliau akan membincangkan isu berkenaan di peringkat jawatankuasa bagi mengelak apa yang berlaku pada tahun lalu tidak berulang.
“Seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lepas tidak berulang supaya umat Islam tidak terkejut.
“Itu hasrat (elak raya terkejut) kita semua. Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan pra-matang sebaliknya menyerahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR).
“Kita tahu bahawa kuasa mengumumkan tarikh hari raya terletak di bawah oleh PMBRR selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya.
Ditanya apakah persediaan yang perlu dilakukan umat Islam untuk berdepan sebarang kemungkinan itu, Mohd. Na’im berkata, beliau menasihatkan umat Islam supaya bersabar.
“Jadi saya rasa kita kena tunggulah di pihak kita, pastinya nak elak benda itu. Bagaimanapun, ada satu kaedah dalam syarat yang menyebut ‘tindakan penerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’.
“Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan untuk memudahkan rakyat jika situasi itu berlaku kelak,” katanya.- KOSMO! ONLINE