fbpx

Tiada alasan tolak tawaran KBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIS Saint-Germain dianggap sebagai gergasi Ligue 1 Perancis, malah sentiasa menjadi pencabar pada saingan pentas Eropah.

Sebaik pemilikan kelab itu bertukar tangan pada 2011 apabila dikuasai oleh Qatar Sports Investment yang diketuai oleh Nasser Al-Khelaifi, antara pembaharuan yang dilakukan adalah dengan membawa masuk pemain-pemain bintang.

Namun, satu lagi pembaharuan yang dilakukan oleh kelab berkenaan yang mungkin tidak ramai melihatnya adalah usaha menaik taraf padang latihan mereka, Camp Des Loges dan padang stadium mereka, Parc Des Princes.

PSG bertindak membawa masuk pakar penjagaan padang berprofil tinggi, Jonathan Calderwood dari Aston Villa pada 2013 yang dianggap sebagai individu penting menjulang kelab tersebut.

Calderwood mendedahkan, sebaik beliau tiba di Paris, PSG berdepan isu kecederaan yang disebabkan oleh masalah padang serta rumput yang tidak sesuai selain menyebabkan mereka juga tidak mampu bermain dengan baik dan taktikal tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Maka, Calderwood memulakan tugas dan hasilnya PSG berjaya meraih enam kejuaraan Ligue 1 dalam tempoh lapan musim, malah bekas jurulatih kelab itu, Laurent Blanc mengakui bahawa 16 dari keseluruhan mata diperoleh pada musim 2014/15 adalah disumbangkan oleh Calderwood kerana padang yang sempurna menyebabkan serangan pasukannya menjadi lebih tajam.

Itu salah satu contoh betapa padang memainkan peranan penting untuk sesebuah pasukan berkembang dan cemerlang serta memiliki pemain yang berkualiti sekali gus membentuk jenama yang gah dalam dunia bola sepak.

Dalam negara ketika ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil inisiatif yang sebenarnya patut dilakukan sejak lama dahulu lagi, namun apa yang penting ia masih belum terlambat.

Tawaran geran untuk proses penukaran rumput di stadium dengan jenis Zeon Zoysia dianggap sebagai suatu yang perlu disambut dengan tangan terbuka oleh semua pemegang taruh kerana usaha meningkatkan tahap bola sepak bukan tugas satu atau dua pihak sahaja.

Bagaimanapun, geran tersebut hanya melibatkan penukaran rumput sahaja sementara proses pembaikan sistem saliran serta penyelenggaraan perlu ditanggung pemilik stadium yang biasanya dimiliki kerajaan negeri.

Situasi itu dilihat menjadi punca tawaran berkenaan dilihat kurang mendapat sambutan apabila setakat minggu lalu, hanya dua negeri sahaja memberikan maklum balas positif mengenai proses berkenaan.

Pemilik Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini pernah meluahkan rasa hairan sekiranya ada pihak yang tidak menyambut tawaran KBS dengan alasan kos penyelenggaraan sekitar RM300,000 dianggap mahal sedangkan bajet untuk pasukan bersaing menelan kos jutaan ringgit.

Sewajarnya pihak perbadanan stadium ataupun kerajaan negeri membuat kajian yang mendalam terlebih dahulu sebelum menolak tawaran yang diberikan kerana ini peluang terbaik untuk para pemain di negeri masing-masing untuk beraksi di atas padang yang lebih baik dan sesuai.

Pelbagai inisiatif boleh diambil oleh pihak pemilik stadium sekiranya kos penyelenggaraan menjadi halangan, berbincanglah dengan pasukan yang berpangkalan di stadium berkenaan misalnya di Kelantan ada dua pasukan, Kelantan FC dan Kelantan United yang mungkin boleh turut memberikan sumbangan.

Sejak sekian lama, penonton disajikan aksi bagaikan di bendang padi sekiranya cuaca hujan, malah kualiti permainan juga sudah hampir tidak ada dalam situasi berkenaan, selain kita juga tidak mahu lagi insiden penyodok sampah digunakan untuk mengeluarkan air bertakung di padang berlaku sekali lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI