fbpx

Tidak wajar batal, tangguh pakej Ramadan jemaah saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ida Riswana ketika bercakap pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Andalusia di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) beranggapan tindakan segelintir agensi pelancongan membatalkan atau menangguhkan pakej umrah jemaah pada bulan Ramadan di saat akhir adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, ini kerana setiap agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah kepada mana-mana jemaah perlu membuat persediaan lebih awal sebaiknya dalam tempoh setahun sebelum tarikh penerbangan bagi mengelakkan permasalahan berlaku di kemudian hari.

“Berikutan daripada berita-berita viral, ada agensi pelancongan yang mengambil tindakan membatalkan pakej Ramadan di saat-saat akhir dengan alasan kenaikan harga hotel yang mendadak dan ada juga agensi pelancongan ini mendakwa tertipu dengan pengendali hotel di Saudi.

“Selain itu dakwaan kenaikan harga penerbangan yang mahal di musim Ramadan selain tiket penerbangan yang tidak cukup.

“Ada juga berita tidak sahih iaitu dikatakan tidak boleh masuk ke Raudhah dalam bulan Ramadan dan dakwaan umrah boleh dilaksanakan hanya sekali dalam bulan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ida Riswana, sekiranya masalah pembatalan pakej umrah jemaah di saat-saat ini tidak diambil tindakan segera oleh pihak berkuasa ke atas agensi pelancongan terlibat, ianya boleh memberi kesan negatif kepada ramai pihak.

“Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada Andalusia dan syarikat pelancongan lain bahkan bakal mencetus keresahan serta keraguan kepada bakal jemaah untuk meneruskan ibadah umrah mereka.

“Sekiranya kes penangguhan dan pembatalan oleh agensi pelancongan dibuat dengan sewenang-wenangnya dan tidak ditangani segera oleh pihak berkuasa Malaysia, dalam jangka panjang ianya boleh membawa kesan ekonomi serta psikologi umat Islam di Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, harga tiket yang ditawarkan syarikat penerbangan sememangnya sudah menunjukkan kenaikan selepas pandemik sama ada penerbangan luar negara mahupun domestik dan tawaran harga bilik hotel di Saudi juga mengalami kenaikan terutamanya menjelang Ramadan.

Jelasnya, situasi ini disebabkan permintaan yang tinggi dalam kalangan bakal jemaah dan ia juga menjadi satu strategi perniagaan yang telah lama dilakukan pihak pengendali di Saudi serta syarikat terlibat.

“Jadi tidak sepatutnya agensi pelancongan memberi alasan harga tiket, harga bilik hotel naik secara tiba-tiba pada bulan Ramadan sehingga membuatkan mereka bertindak membatalkan pakej umrah jemaah di saat akhir.

“Untuk makluman semua, sebenar-benarnya di dalam bulan Ramadan ini, terdapat banyak penerbangan umrah yang masih mempunyai kerusi kosong sehinggakan ada beberapa penerbangan terpaksa disatukan bagi menjimatkan kos serta mengelakkan syarikat penerbangan rugi kerana kapasiti yang rendah.

“Andalusia sendiri buat penambahan tiket di 10 malam terakhir di bilik-bilik Mekah dan Madinah kerana masih banyak yang kosong,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI