MELAKA – Seramai 61 pelajar daripada golongan asnaf dan anak yatim gembira apabila menerima sumbangan Aidilfitri di sekolah mereka di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir di sini, semalam.
Guru Besarnya, Siti Selyna Md. Nasir berkata, sumbangan itu adalah pemberian daripada syarikat Telekom Malaysia Berhad (Melaka) yang telah menjayakan program dengan nilai dana melebihi RM8,000.
“Mengikut pecahan, seramai 58 penerima hari ini adalah murid daripada Tahun Dua sehingga Tahun Enam dan murid asnaf Kelas Pendidikan Khas. Baki tiga murid adalah anak yatim.
“Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian TM Melaka meraikan anak-anak ini dengan pemberian wang tunai sebanyak RM50 serta beg makanan bernilai RM80 kepada setiap mereka,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri oleh TM di SK Ujong Pasir, di sini, hari ini.
Sementara itu Pengurus Besar TM Melaka, Datuk Rozlan Mohamed berkata, sumbangan itu adalah pulangan semula pembayaran zakat yang diterima daripada Zakat Melaka menerusi Yayasan Telekom Malaysia.
Ujarnya, pada tahun lepas TM negeri juga telah menyerahkan sejumlah RM309,855 kepada Zakat Melaka dan mendapat pulangan semula kira-kira tiga per lapan iaitu RM116,000 untuk diagihkan di bawah program CSR.
“Alhamdulillah tahun ini kita mendapat sedikit sumbangan daripada Yayasan Telekom Malaysia dan menerima tambahan sebanyak RM20,000 untuk melakukan CSR.
“Jadi sumbangan itulah yang kita gunakan untuk meraikan anak-anak asnaf dan yatim di sekolah ini dengan sedikit pemberian sempena sambutan Aidilfitri,” katanya.
Tambahnya, program Sumbangan Aidilfitri itu turut melibatkan anak-anak asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Taboh Naning dan Kuala Linggi – KOSMO! ONLINE