PETALING JAYA – Kecoh di media sosial ketika ini apabila satu klip video tular menjelaskan anak bulan dijangka kelihatan pada 20 April, Khamis bersamaan 29 Ramadan sekali gus menjadikan 1 Syawal pada 21 April, Jumaat.
Menerusi klip video dimuat naik di media sosial @sajeta, penjelasan itu dibuat berdasarkan sebuah aplikasi memaparkan simulasi bulan bagi bulan Ramadan tahun ini.
“Cuba kita tengok satu simulasi ini, kalau kita lihat di sini 4 April bermakna kita berada pada 13 Ramadan. Esok 14 Ramadan, bulan penuh.
“Kita boleh pusingkan mengikut hari sehingga 20 April (29 Ramadan), dia dah ada ‘new moon’ (bulan baru) pada pukul 7.26 malam,” katanya dalam video terbabit.
Tambah @sajeta, jika perkara tersebut berlaku lebih awal bermakna kemungkinan Malaysia akan menyambut Syawal pada 21 April, Jumaat.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai kecoh ketika ini sekiranya terpaksa menyambut Raya Aidilfitri lebih awal seperti tahun lalu.
“Bila raya mengejut macam tahun lepas, baru betul-betul rasa nikmat raya sebab semua tak tidur buat persiapan. Ada yang mesin rumput dan ada yang sibuk nak bakar lemang,” kata Fasya.
“Raya tergempar tahun lepas, bnyak kenangan manis bersama arwah ayah saya. Memang saya tak akan lupa sampai bila bila,” ujar ena.
“Saya suka raya mengejut macam tahun lepas, terasa yang amat nikmat raya macam masa kecil-kecil dahulu. Seronok betul,” jelas Alisra.
“Tak kisah pun bila raya tetapi ilmu yang diberi paling penting. Alhamdulillah, terima kasih tuan,” ucap karlx.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan akhir Ramadan pada hari Khamis bersamaan 20 April 2023.
“Kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan 1 Syawal pada keesokan harinya, yang akan menjadikan hari Jumaat, 21 April sebagai hari pertama Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE
@sajetasoft♬ original sound – Sajeta