PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan bahawa sebarang dakwaan mengenai wujudnya aktiviti jual beli organ di negara ini perlu dianggap amat serius.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti itu dilihat satu eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.
Beliau berkata, sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak.
“Konsisten dengan kewajipan negara dan antarabangsa, KKM tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.
“Dalam perkara ini, KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ, ianya perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.
Dr. Noor Hisham berkata, sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini.
Menurutnya, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram.
“Dasar KKM jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma selepas kematian (kadaverik).
“Malaysia juga telah menandatangani The Declaration of Istanbul on Organ Trafficking and Transplant Tourism (2008) yang menyatakan bahawa organ untuk transplantasi harus diagih secara saksama kepada penerima sesuai tanpa mengenal jantina, etnik, agama dan status sosial serta kewangan,” katanya.
Katanya, deklarasi ini juga menekankan bahawa komersialisasi transplantasi organ hendaklah dilarang kerana ia mensasarkan golongan miskin dan lemah yang menjurus kepada ketidakadilan. – KOSMO! ONLINE