JEREZ – Pelumba legenda, Valentino Rossi menyifatkan laporan yang mendakwa dia sudah menandatangani kontrak menyertai Petronas Yamaha SRT musim depan sebagai berita palsu.
Bagaimanapun, pelumba berasal dari Itali itu mengakui sudah 99 peratus yakin bakal menyertai pasukan satelit dari Malaysia itu.
Rossi, 41, mengakui terdapat beberapa perkara masih diperhalusi termasuk mengenai jumlah kru yang dijangka turut serta bersamanya ke pasukan baharu nanti.
“Laporan yang menyatakan saya sudah menandatangani kontrak itu adalah tidak betul. Ia berita palsu. Namun, kami semakin hampir (persetujuan).
“Saya mahu meneruskan perlumbaan pada 2021. Saya sudah berbincang dengan pihak Yamaha malah saya juga sudah bercakap dengan Razlan (Ketua Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing
Team, Datuk Razlan Razali), Wilco Zeelenberg dan Johan Stigefelt (Pengurus Pasukan). Saya mempunyai firasat yang baik.
“Kami ada beberapa perkara perlu diperhalusi terutamanya mengenai pasukan dan orang-orang yang akan bekerja dengan saya. Tapi 99 peratus saya akan berlumba untuk pasukan Petronas
Yamaha SRT pada musim depan. Walaupun saya masih belum menandatangani (kontrak),” kata Rossi. – AGENSI