HANOI – Empat orang disahkan maut dengan seorang masih hilang susulan nahas helikopter dekat Teluk Halong di Vietnam, kata media pemerintah hari ini.
Helikopter yang membawa seorang juruterbang dan empat pelancong Vietnam itu terputus hubungan lima minit selepas berlepas untuk penerbangan menyaksikan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Mayat juruterbang ditemui pukul 11 malam tadi,” lapor media pemerintah, VnExpress.
Pasukan penyelamat menemui sebahagian badan helikopter jenis Bell 505 itu pagi ini dengan satu mayat berada di dalamnya, tambah VnExpress.
Dua lagi mayat ditemui berhampiran Teluk Halong, lapor VnExpress, tanpa memberikan butiran lanjut.
“Pasukan mencari dan menyelamat masih mencari mayat kelima dan baki bahagian (helikopter),” tambahnya.
Sektor penerbangan awam Vietnam mengekalkan rekod keselamatan yang baik walaupun kemalangan melibatkan pesawat tentera adalah lebih biasa.
Firma induk Syarikat Helikopter Vietnam Utara berkata, pihaknya akan menghentikan semua penerbangan melancong di seluruh negara berkuat kuasa serta-merta.
Syarikat itu mula menerbangkan pelancong untuk melihat formasi batu batu kapur yang terkenal di Teluk Halong pada 2019.
Perjalanan selama 10 minit itu menelan kos sehingga AS$120 (RM527) seorang.