fbpx

Jakim kesal tindakan Charlie Hebdo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kesal tindakan provokatif karikatur Nabi Muhammad dicetuskan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo tatkala seluruh umat Islam sedang meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri menulis surat khusus kepada Duta Perancis di Malaysia berhubung itu.

Beliau berkata, surat khusus itu adalah sebagai teguran penuh hikmah terhadap tindakan tidak wajar pihak berkenaan.

“Jakim juga ingin menasihati umat Islam di Malaysia khususnya agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas dalam menangani isu ini sehingga melakukan sesuatu yang di luar batasan agama dan undang-undang.

“Ini kerana dibimbangi ia boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara penganut berbilang agama,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, sesungguhnya kehadiran Rasulullah di atas muka bumi ini antara lain ialah untuk membawa kedamaian di tengah-tengah masyarakat yang hidup saling menumpahkan darah di antara satu sama lain.

Abdul Aziz berkata, Islam yang dibawa oleh Rasulullah terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka.

“Bahkan Islam mengajar umatnya supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah,” katanya.

Katanya, Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman sama ada sesama Islam atau dengan bukan Islam.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, pihaknya menyeru kepada seluruh umat Islam bahkan masyarakat bukan Islam agar terus berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara bagi menjamin persefahaman, hormat menghormati dan perpaduan antara kaum dan agama di negara ini sentiasa terpelihara.

Katanya, sempena sambutan Maulidur Rasul tahun 1442H, Jakim menyeru seluruh umat Islam khususnya di Malaysia agar sama-sama kita menghayati sirah dan sunnah Rasulullah dengan sebenar-benarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI