SEMANGAT skuad bawah 22 tahun (B-22) negara untuk meraih kilauan pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja tidak pudar meskipun diundi dalam kumpulan ‘maut’ bersama pasukan pilihan, Thailand dan Vietnam.
Pada sesi undian yang berlangsung di Pnhom Penh, Kemboja kelmarin, skuad muda Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Vietnam, Laos dan Singapura.
Ketua jurulatih skuad B-22 negara, E. Elavarasan menganggap keputusan undian tersebut bakal memberikan cabaran yang tersendiri, bagaimanapun kekal realistik dengan potensi yang boleh diberikan barisan pemain.
“Satu undian yang dijangka menarik dan mencabar, pada masa sama diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.
“Saya harus realistik dengan keputusan undian tersebut dan optimis bahawa skuad barisan pemain memiliki potensi sama seperti negara lain kerana kami juga memiliki keyakinan untuk turun pada kejohanan Sukan SEA 2023.
“Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia,” katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya skuad B-22 negara mara ke pentas final pada temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara yang berprestij berkenaan.
Kali terakhir skuad muda Harimau Malaya mara ke final adalah ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 dengan kejayaan menang pingat emas terakhir adalah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.
Prestasi skuad B-22 tahun lalu telah dikritik hebat apabila gagal membawa sebarang pingat Sukan SEA 2021 di Vietnam selepas terkandas di peringkat separuh akhir.