fbpx

Muhyiddin ajak rakyat bermunajat hadapi ujian Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak seluruh umat Islam di negara ini untuk terus bermunajat di kala dunia masih lagi diuji dengan wabak Covid-19.

Perdana Menteri berkata, ujian itu seharusnya mengukuhkan iltizam untuk lebih mengasihi dan mendekatkan diri kepada ajaran Rasulullah yang tidak pernah melupakan umatnya.

“Dalam usaha memulihkan ekonomi dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat, saya mengajak umat Islam untuk terus bermunajat.

“Semoga dengan usaha ini kita akan beroleh sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan Allah, serta kita semua tergolong dalam kalangan umat yang sentiasa dikasihi dan kelak akan menerima syafaat Rasulullah, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul 1442H/2020M yang dimuat naik di laman rasmi Facebooknya hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengajak umat Islam untuk menghayati sirah serta berusaha sedaya upaya untuk mencontohi sunnah Rasulullah sebagai insan yang sangat mulia dan dikasihi.

Beliau berkata, Rasulullah merupakan sebaik-baik teladan yang memiliki sifat-sifat rabbani dan akhlak terpuji, yang tiada tolok bandingnya dan menjadi rujukan dalam kehidupan manusia.

Menurutnya, ini bersesuaian dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ yang dipilih bagi menggambarkan pentingnya sifat rabbani dan kepatuhan hamba kepada Pencipta yang akhirnya akan membawa kepada keharmonian ummah dan negara.

“Saban tahun, kita memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad sebagai bukti kasih dan sanjungan terhadap risalah perjuangan serta pengorbanan baginda terhadap umatnya.

“Bersempena sambutan Maulidur Rasul ini, saya mengajak saudara saudari sekalian untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin memuji inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menggerakkan kempen ‘Malaysia Berselawat’ di laman sosial sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Katanya, peserta terdiri daripada rakyat Malaysia dianjurkan untuk merakam selawat dalam bentuk video pendek yang dikongsi di media sosial masing-masing dengan tanda pagar #SemarakCintaRasul serta tag laman sosial Jakim.

“Ini bukan sahaja inisiatif yang sangat baik dan bersesuaian dengan amalan norma baharu yang perlu kita laksanakan dalam kehidupan seharian, bahkan yang lebih utama melambangkan bukti kasih sayang kita kepada Rasulullah melalui amalan berselawat ke atas Nabi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI