KLANG – Seorang lelaki yang diburu selepas membelasah pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawa seorang murid perempuan berusia sembilan tahun di Kampung Telok Gong di sini akhirnya diberkas polis baru-baru ini.
Sumber berkata, lelaki dikenali sebagai Muhammad Putra, 31, yang bekerja sebagai kontraktor itu ditahan di sekitar daerah ini pada 1 April lalu.
“Dengan tangkapan lelaki itu, jumlah suspek yang diberkas kerana terbabit kes memukul pemandu treler adalah seramai tiga orang. Mereka yang ditahan berusia 31 dan 38 tahun.
“Semakan mendapati, seorang daripada suspek tersebut memiliki dua rekod berkaitan dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan melibatkan seorang pemandu treler yang cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas terlibat dalam kemalangan maut di Kampung Telok Gong.
Ini selepas pihak berkuasa itu menerima satu laporan yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun di Balai Polis Pandamaran di sini pada pukul 8.14 malam, 22 Mac lalu.
Siasatan awal mendapati, sekumpulan lelaki yang berada di lokasi kejadian memukul mangsa selain memecahkan cermin hadapan treler tersebut.
Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada pipi kanan, lebam di mata selain sakit seluruh anggota badan. Mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Dalam kejadian pada pukul 11.25 pagi, 21 Mac lalu, Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir, 9, maut selepas digilis sebuah treler. Kejadian itu turut menyebabkan adik Nurul Jannatun dan pengasuh wanita cedera.
Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Telok Gong selepas selesai sesi persekolahan agama di Sekolah Rendah Agama Telok Gong.
Sumber menambah, dua lelaki termasuk Muhammad Putra telah dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.Dua lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka.